Separuh bogel di GP: Mahkamah lepaskan semua 9 warga Australia
Mahkamah Sesyen Sepang hari ini melepaskan tanpa sabitan ke atas sembilan lelaki warga Australia yang berbogel sehingga menampakan seluar dalam ketika perlumbaan Grand Prix Malaysia di Sepang pada Ahad lalu.
Walaupun Hakim Harith Sham Mohamed Yasin, berpendapat kelakuan mereka itu adalah "sama sekali tidak sesuai" dan mencemarkan jalur gemilang yang menjadi simbol kebanggan negara, beliau mengambil kira usia muda mereka.
Tertuduh berkenaan Jack Walker; Edward Leaney; Nick Kelly; Thomas Laslett; Thomas Whitworth; Brendan Stobs; Timothy Yates; James Paver dan Adam Pasfield, masing-masing berusia 25 hingga 29 tahun itu ditahan di Litar SIC Sepang, Ahad lalu.
Menurut Hakim Harith, biarpun pelakuan itu boleh diterima di negara tertuduh atau mana-mana negara lain namun ia tidak boleh diterima negara ini.
Beliau juga mengambil kira bahawa kesembilan-sembilan mereka telah ditahan reman selama empat hari, tidak mempunyai kesedaran bahawa kelakuan itu adalah sensitif dan bahawa mereka menginsafi perbuatan itu.
"Saya dengan ini memberi amaran dan melepaskan semua kamu daripada pertuduhan ini," katanya hari ini.
Kesembilan-sembilan mereka mengaku bersalah di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menganggu kenteteraman awam dengan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM400.
Bagaimanapun, peguam tertuduh iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada hakim untuk melepaskan tanpa sabitan terhadap semua tertuduh mengikut Seksyen 173A (2) (a) Kanun Tatacara Jenayah.
Media Australia sebelum ini melaporkan bahawa semua lelaki itu sebenarnya melucutkan pakaian mereka kecuali seluar renang dan bukannya seluar dalam mereka, selepas pemandu Australia, Daniel Ricciardo memenangi Grand Prix Malaysia.

