Permohonan MLA dihantar menerusi saluran diplomatik, kata OAG Swiss
Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland telah membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa negara ini untuk mendapatkan bantuan guaman bersama (MLA) berhubung siasatan kes penyelewengan dan pengubahan wang haram yang membabitkan 1MDB.
"Permohonan lanjutan bantuan guaman bersama telah dihantar melalui saluran diplomatik," kata seorang wakil OAG kepada Malaysiakini.
Walaupun pegawai berkenaan berkata bahawa mereka tidak boleh mengulas lebih lanjutan.
Jabatan Peguam Negara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka masih belum menerima permohonan rasmi permohonan tambahan (MLA) itu.
OAG semalam berkata ia akan memohon bantuan tambahan, selepas mendapati apa yang disifatkan sebagai skim ala cepat kaya ‘Ponzi’ membabitkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.
"Bagaimanapun, pihak Peguam Negara ingin menekankan komitmen kami dalam kerjasama antarabangsa dan akan mempertimbangkan sebaik mungkin permintaan ini berlandaskan undang-undang sedia ada apabila ia diterima menerusi saluran diplomatik, seperti mana ditetapkan undang-undang negara berhubung bantuan bersama perundangan," katanya dalam satu kenyataam.
Sebelum ini, 1MDB mengelak mengulas kenyataan OAG Swiss itu dengan berkata semua soalan perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
"... Sebarang pertanyaan berhubung dengan perkara ini hendaklah diajukan kepada pihak berkuasa yang relevan," kata firma pelaburan negara itu dalam jawapannya berhubung soalan dari Malaysiakini.
1MDB juga mengulangi bahawa ia tidak dihubungi oleh pihak berkuasa Switzerland atau mana-mana pihak berkuasa asing yang sah berhubung dengan penyiasatan mereka ke atas dakwaan penyelewengan itu dan pengubahan wang haram.
Ketika ini, Hong Kong, Abu Dhabi, Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat sedang meneliti dakwaan berkenaan, dengan aset disita, bank ditutup dan beberapa individu didakwa.
"Seperti dinyatakan sebelum ini, 1MDB akan bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa asing yang sah, tertakluk kepada protokol antarabangsa yang mengawal perkara-perkara tersebut dan nasihat daripada pihak berkuasa relevan domestik yang sah," katanya.
1MDB berkata demikian bagi menjawab soalan Malaysiakini berhubung kenyataan Pejabat Peguam Negara Swiss (OAG) yang sekali memohon MLA daripada Jabatan Peguam Negara Malaysia berhubung siasatannya terhadap dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB .

