Pertubuhan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mendesak Israel agar membebaskan kesemua aktivis dan anak kapal Zaytouna-Oliva yang menyertai misi kemanusiaan Women's Boat to Gaza (WBG) yang ditahan malam tadi di Pelabuhan Ashdod, Israel.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata penahanan tersebut adalah sangat tidak wajar memandangkan rombongan misi itu datang ke Gaza, Palestin secara aman tanpa sebarang senjata dan melakukan provokasi.

"Ahli misi datang ke Gaza hanya dengan tujuan membawa mesej solidariti dan tindakan Israel menghalang kapal itu memasuki perairan antarabangsa jelas mencabuli undang-undang maritim antarabangsa," katanya dalam sidang media di Seri Kembangan hari ini.

Tentera Israel menahan kapal itu berserta tiga anak kapal dan 10 aktivis wanita termasuk wakil tunggal Malaysia Dr Fauziah Mohd Hassan pada pukul 2.58 petang waktu tempatan (9.58 malam waktu Malaysia).

MyCARE mengesahkan kapal itu yang dalam perjalanan menuju Gaza ditahan dan ditunda tentera Israel.

Turut hadir dalam sidang media itu Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE yang juga Pengarah Misi WBG (Malaysia), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan anggota keluarga Dr Fauziah.

Dr Hafidzi berkata MyCARE turut menyeru kerajaan Malaysia selaku Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) agar membawa usul tergempar bagi mengecam tindakan Israel merampas kapal Zaytouna-Oliva secara haram di perairan antarabangsa.

"Kami juga mahu Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan semua peruntukan yang ada untuk menjamin keselamatan kesemua ahli misi dan anak kapal Zaytouna-Olive sehingga mereka dibebaskan dan pulang ke negara masing-masing.

"PBB, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Kerjasama Islam dan semua forum antarabangsa juga harus memainkan peranan dengan mengutuk polisi Israel yang mengenakan sekatan secara kolektif ke atas Gaza dan mendesak Israel supaya menghentikan sekatannya," katanya.

Mengenai perkembangan penahanan itu, Dr Hafidzi berkata MyCARE masih belum mendapat sebarang maklumat terkini mengenai rombongan tersebut dan akan sentiasa berhubung dengan pasukan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang merupakan pengasas misi WBG.

Dr Fauziah bersama anggota misi bantuan kemanusiaan WBG menggunakan jalan laut setelah Israel menutup dan mengepung laluan darat ke Gaza dari sempadan Mesir-Gaza di Arafah.

Delegasi wanita itu turut disertai wakil dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia.

Pelayaran mereka bermula pada 14 September dari pelabuhan Vell, Barcelona, Sepanyol dan berhenti di Ajaccio, Perancis bagi pusingan pertama pada 19 September sebelum meneruskan perjalanan ke Messina, Itali bagi pusingan kedua.

- Bernama