Tampar warga emas: Pekerja ditangkap, pusat diarah tutup
Polis telah menahan seorang pekerja pusat jagaan orang tua di Klebang, Melaka selepas sebuah video yang memaparkan dirinya menampar seorang warga emas menjadi viral di media sosial.
“Syabas JSJ Melaka, tangkap 1 lelaki seorang penjaga rumah orang tua yang disyaki melakukan perbuatan yang membahayakan penghuninya semalam,” tulis tweet Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din.
Sementara itu, kerajaan negeri Melaka juga mengarahkan pusat jagaan orang tua itu ditutup.
Menurut Berita Harian yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar, pusat diberi tempoh lima hari untuk menghentikan operasi.
Katanya, pengusaha pusat mesti menghubungi waris penghuni untuk membawa mereka pulang manakala warga tua yang tidak mempunyai waris pula akan dihantar ke Rumah Seri Kenangan di sekitar Melaka.
Selain kes itu, Latipah berkata, pusat terbabit tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Terdapat sebanyak 73 pusat jagaan di negeri ini yang berdaftar, manakala kurang daripada 20 lagi belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. "Siasatan awal mendapati, pusat jagaan warga emas ini sudah diberikan nasihat supaya berbuat demikian (mendaftar) sejak tahun 2015, sebaliknya mereka tetap berdegil (tidak mendaftar)," katanya.
Dalam klip video 11 saat itu, seorang lelaki dilihat memarahi seorang warga emas dan kemudiannya menamparnya berulang-kali.

