Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tinggalkan DAP jika mahu bersama PAS’ - Azmin ikut PKR

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali akan mengikut segala ketetapan yang bakal dibuat partinya berhubung kenyataan PAS agar parti pembangkang yang mahu berkerjasama dengannya harus meninggalkan DAP.

"Kita akan ikut parti (PKR) dan kita akan bincang," kata Azmin ringkas.

Azmin berkata demikian bagi mengulas kenyataan ketua penerangan PAS, Nasruddin Hassan bahawa parti-parti pembangkang yang ingin bekerjasama dengan parti itu perlu meninggalkan DAP sebelum rundingan boleh diadakan.

"Realitinya adalah DAP masih menentang perjuangan Islam PAS.

"Oleh itu, dasar semasa PAS adalah untuk menolak DAP dan semua pihak yang bekerjasama dengan DAP," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Harakah Daily.

Oleh itu, Nasruddin berkata persamaan yang mudah untuk pihak-pihak yang mahu bersama dengan PAS adalah untuk meninggalkan DAP dan mematuhi syarat yang mudah - menghormati perjuangan teokratik parti.

Rabu lalu, bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengadakan rundingan dengan PAS.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan presiden pro-tem BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu Azmin hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khariah, Gombak sebelum meraikan jemaah masjid tersebut dengan jamuan tengah hari.

Lihat Komen
ADS