Para pemimpin BN perlu mengekalkan kesatuan dalam parti dan menghormati antara satu sama lain jika mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe.

"Untuk menang dalam pilihan raya umum ke-14, para pemimpin parti komponen BN perlu menghormati dan membantu antara satu sama lain.

"Jangan sekali-kali menghina atau memperolok atau bertindak angkuh dengan menganggap diri sendiri sebagai 'abang'," kata Tan pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-45 di Kuala Lumpur, hari ini.

Adalah penting untuk mengekalkan hubungan antara parti-parti komponen seperti sebuah keluarga yang besar, katanya.

Pertikaian dalaman antara parti komponen BN hanya memberi peluang-peluang kepada pembangkang untuk merencana kejatuhan kerajaan, ujar Tan.

Dalam keadaan politik yang kritikal pada masa ini, sabotaj dalaman mesti dihentikan serta-merta, tambah Tan.

"Jangan jadi musuh dalam selimut," tegas beliau.

[Baca berita penuh]