Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) berkata kemarahan rakyat terhadap kebiadapan sembilan lelaki Australia kerana memakai seluar renang dengan corak bendera Malaysia bercanggah dengan kesalahan yang pernah dilakukan oleh rakyat negara ini di luar negara.

Ketua Pegawai Operasinya, Tricia Yeoh berkata, perkara tersebut dibangkitkan kerana beliau melihat bagaimana rakyat Malaysia mempertahan dan menjadi 'pembela' kepada bekas Pegawai Waran II MINDEF yang bertugas sebagai Pembantu Staf Pertahanan di Wellington, Muhammad Rizalman Ismail, 38 yang dituduh di atas cubaan merompak serta gangguan seksual ke atas seorang wanita di New Zealand.

"Kami melihat majoriti daripada rakyat negara ini mengatakan mereka (pesalah) berhak mendapat peluang kedua. Dalam kes ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga cuba untuk mendapatkan imuniti diplomatik untuk beliau, "kata Yeoh.

Beliau juga turut memberi contoh pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara), Nur Fitri Azmeer Nordin, yang dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di United Kingdom kerana memiliki gambar-gambar pornografi kanak-kanak.

"Dalam kes itu, mereka berkata memberi pelajar peluang kedua kerana dia adalah pelajar yang bijak dan mampu menjadi penyumbang kepada negara," katanya pada Sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia di Petaling Jaya, hari ini.

Ketika perlumbaan Grand Prix Malaysia di Sepang pada Ahad lalu, sembilan lelaki Australia melucutkan pakaian mereka kecuali seluar renang dan bukannya seluar dalam, selepas pemandu negara itu, Daniel Ricciardo memenangi Grand Prix Malaysia.

Manakala pada Jun 2015, empat pelancong Barat bergambar bogel di puncak Gunung Kinabalu di Sabah.

Dan kedua-dua pelakuan itu mencetus kemarahan rakyat Malaysia sekali gus mengecamnya.

Sehubungan itu, Yeoh mempersoalkan tindakan tersebut.

"Di manakah moral awam apabila ia melibatkan rakyat Malaysia melakukan jenayah di luar negara?," soal Yeoh.

Yeoh menegaskan bahawa dalam kes-kes yang melibatkan Rizalman dan Nur Fitri, kesalahan mereka adalah lebih serius daripada contoh-contoh yang dipetik beliau sambil menambah bahawa kedua-dua kes yang disebutnya itu mengundang bahaya.

Justeru, Yeoh menggesa rakyat Malaysia agar belajar untuk hidup dengan "ketidakselesaan" tertentu kerana beliau pasti keadaan sedemikian akan timbul dalam masyarakat yang berbilang kaum.

"Kita cenderung untuk menganggap moral awam agak tinggi di negara ini. Ini adalah agak penting kerana ia berkaitan dengan banyak peristiwa yang kita hadapi. Kita mesti membezakan kesalahan dan bahaya.

"Ketidakselesaan itu akan menjadi satu perkara yang biasa," katanya.