Operasi SPRM Sabah: Tahniah tapi belum cukup - Kit Siang
Walaupun dianggap sebagai hasil tangkapan terbesar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini, Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ianya belum cukup untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus tergelincir ke bawah dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Beliau memberi amaran jika Malaysia gagal menyekat aliran menurun dalam indeks itu dan tersilap langkah dalam menangani isu 1MDB, kedudukan Malaysia akan diambil alih oleh Indonesia dan China dalam tempoh sedekad ini.
Kedua-dua negara tersebut, ujar beliau, telah berada di kedudukan tercorot dalam CPI sejak NGO global, Transparency International (TI) mula menyusun indeks berkenaan pada tahun 1995 tetapi berjaya melonjak dengan cepat.
"Apa yang perlu dibimbangi oleh semua rakyat Malaysia dan SPRM ialah Malaysia menghadapi risiko untuk diambil alih oleh Indonesia dan China dalam tempoh satu dekad dalam CPI TI tahunan dari segi kedudukan dan skor kecuali Malaysia cepat menangani dan menunjukkan kesungguhan mendepani anti-rasuah.
"Usaha SPRM di Sabah tidak akan cukup untuk membalikkan trend Malaysia daripada diambil alih oleh negara-negara lain khususnya di Asia kecuali kerajaan sedang bersedia untuk berhadapan dengan masalah skandal global 1MDB yang telah melonjakkan Malaysia menjadi 'kleptokrasi global," jelas Lim dalam kenyataan, hari ini.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2015, Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga dari tempat 50 ke 54.
SPRM telah menahan seorang pengarah dan timbalan pengarah dari syarikat utiliti awam Sabah pada Rabu lalu kerana disyaki melakukan rasuah.
Sebagai sebahagian daripada operasi itu, suruhanjaya berkenaan turut merampas kira-kira RM114 juta, termasuk RM53 juta dalam bentuk wang tunai, sembilan kereta mewah, jam tangan berjenama, 127 geran tanah dan 94 beg tangan antara lain.
Lim memuji tangkapan terbaru itu dan berkata, SPRM perlu diberi pujian kerana usahanya.

