Tiga individu ditahan polis berhubung serangan ke atas seorang penyokong BERSIH di Sabak Bernam, Selangor semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Abu Samah Mat berkata tiga suspek terbabit ditahan selepas kumpulan BERSIH membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Walaupun polis sudah menahan tiga lelaki itu, kami masih menjalankan siasatan dan meneliti klip video (insiden itu) untuk mengenal pasti pihak yang terlibat," katanya.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan berkaitan merusuh. Jika didapati bersalah oleh mahkamah, pelakunya boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Abu Samah berkata tindakan sewajarnya akan diambil ke atas sesiapa saja yang melakukan keganasan.

"Pada perhimpunan begitu - apabila ada satu pihak dalam keadaan berhadapan secara langsung dengan pihak yang lain, polis menjangka perkara itu akan berlaku.

"Bagaimanapun polis akan bertindak jika terdapat sebarang salah laku," katanya dipetik akhbar The Sun hari ini.

[Baca berita asal]