Pelukan terakhir bapa selamatkan nyawa anak
Seorang budak perempuan yang terperangkap dalam runtuhan bangunan enam tingkat ditemui selamat lebih 12 jam - selepas berada dalam dakapan bapanya, lapor agensi berita hari ini.
Bagaimanapun, di sebalik khabar melegakan itu, ada pula berita sedih. Bapa mangsa didapati sudah tidak bernyawa.
Dalam kejadian di bandar Wenzhou di wilayah Zhejiang itu pasukan pencari dan penyelamat menemui Wu Ningxi, 3, dengan hanya beberapa kecederaan ringan.
Stesen penyiar China, CCTV melaporkan kemungkinan besar Wu terselamat kerana bapanya menjadi pelindung kepada runtuhan bangunan berkenaan.
"Wu itu terselamat kerana lelaki terbabit menjadi perisai menggunakan tubuhnya sendiri melindungi kanak-kanak berkenaan," lapor China Youth Daily.
Bangunan kediaman berkenaan dilaporkan runtuh semalam dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pagi tadi.
Seramai 22 orang disahkan terbunuh berbanding hanya lima orang ditemui selamat.
Wu adalah salah seorang daripada mangsa yang bernasib baik.
CCTV melaporkan setakat ini pihak berkuasa masih belum menemui punca sebenar bangunan itu runtuh.
Bagaimanapun hujan lebat serta kualiti binaan bangunan dipercayai menyumbang kepada tragedi itu.
Bangunan kediaman berkenaan dibina oleh penduduk setempat. Agensi berita Xinhua pula melaporkan beberapa bangunan berhampiran - yang dibina pada era 1970-an - sedang diruntuhkan sebagai langkah berjaga-jaga mengelak tragedi berulang.
CCTV melaporkan bapa Wu berusia 26 tahun dan seorang pekerja kilang.
Mayat bapa Wu ditemui di bawah runtuhan tebal simen, manakala mayat ibu kanak-kanak itu berada tidak jauh dari situ.

