Paling Popular
Terkini

Selepas menjalani hukuman penjara selama setahun lapan bulan kerana sabitan kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir habis menggunakan remedi perundangan untuk memohon dibebaskan daripada pemenjaraan.

Esok, Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Anwar sebagai usaha akhirnya menggunakan saluran perundangan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 31.

Anwar mahu Mahkamah Persekutuan menggunapakai Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Secara alternatif, beliau mahu Mahkamah Persekutuan untuk mendengar semula rayuannya berhubung merit.

Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 membenarkan pihak yang kalah perbicaraan memohon Mahkamah Persekutuan membuat semakan terhadap keputusan.

Walaupun Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusannya bagi mengelakkan ketidakadilan dan salahguna proses mahkamah, pada umumnya ia hanya dilaksanakan dalam keadaan-keadaan tertentu.

Integreti sampel

Anwar, 68, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhi oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014.

Dalam penghakiman setebal 116 muka surat, Hakim Arifin berkata mahkamah persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhin oleh Mahkamah Rayuan selepas mengambil kira betapa seriusnya kesalahan liwat dan hakikat bahawa Anwar telah mengambil kesempatan berdasarkan kedudukannya sebagai majikan kepada mangsa.

Hakim Arifin mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Pada 9 Jan, 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan atas alasan bahawa mahkamah tidak 100 peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil daripada mangsa bagi ujian DNA.

Mahkamah memutuskan bahawa sampel-sampel itu mungkin telah dikompromi sebelum sampai ke jabatan kimia untuk dianalisis.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful dan memutuskan bahawa hakim bicara telah terkhilaf dalam keputusannya mengenai sampel itu berdasarkan keterangan dua saksi pakar yang dipanggil oleh pihak pembela.

Lebih daripada berkelayakan

Anwar dikatakan melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar akan diwakili oleh barisan peguam diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Pendakwaan akan dijalankan oleh pasukan timbalan pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara.

"Para pegawai saya dari Jabatan Peguam Negara lebih daripada berkelayakan untuk mengendalikan kes. Untuk pengetahuan, saya tidak berada dalam negara buat masa ini," kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali melalui SMS ketika ditanya siapakah akan mengetuai pasukan pendakwaan.

Sebelumnya, semasa rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwa raya.

Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara (pada ketika itu) secara "fiat" (kebenaran) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Surat pelantikan beliau ditandatangani oleh Peguam Negara pada 2 Julai, 2013.

- Bernama

Lihat Komen
ADS