Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyarankan ahli-ahli parti mengikut contoh ahli ahli parti lawan, PAS yang menyokong penuh mana-mana calon itu sebagai calon pilihanraya.

Beliau dalam ucapan penggulungannya, mengambil contoh calon PAS, Muhamad Sabu yang sentiasa mencapai kemenangan walaupun "dicampak kemana-mana (kawasan pilihanraya)".

"Tengok parti (PAS), dia akan mengundi (calon) kayu malah lebih teruk daripada kayu," sindir Mahathir dalam hari terakhir perhimpunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra petang tadi.

Katanya calon tersebut menang kerana pengikut-pengikut parti Islam itu menyokong penuh calon bertanding.

"Mat Sabu ini ... ini kes yang jelas sekali, berkhalwat. Entah macam mana terlepas setelah empat orang memberi bukti, tetapi terlepas. Itulah undang-undang Islam PAS," selar pemimpin parti terbesar itu.

Pemimpin PAS itu sebelum ini telah dihadapkan ke Mahkamah Syariah setelah disabitkan kesalahan berkhalwat. Bagaimanapun mahkamah itu mendapati beliau tidak bersalah.

Mahathir kemudian menjelaskan, Umno kalah dalam pilihanraya bukan kerana parti lawan kuat, tetapi disabotaj oleh ahli parti sendiri.

"Takkan begitu ramai orang hendak menyokong parti ini (yang) mensabotaj Islam," tegas Mahathir yang tidak percaya parti lawan mendapat sokongan kuat sambil menambah "ahli Umno sendiri menyokong pihak lawan apabila marah".

Taat kepada presiden

Katanya ramai yang mempersoalkan beliau meletakkan calon-calon tertentu untuk bertanding dalam pilihanraya dengan alasan "calon tersebut tidak kuatlah, tidak sesuai".

"Saya tidak kira, (yang penting) orang itu orang Umno, walaupun terkilan dia lawan saya, yang terkilan itu Dr Mahathir. Presiden (Umno) tidak boleh terkilan, saya tidak ada kepentingan untuk memilih seorang calon," ulas beliau disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Beliau dalam pilihanraya parti pernah dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan presiden parti. Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li setelah itu menubuhkan Semangat 46 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengistiharkan parti Umno pada masa itu tidak sah.

Dalam ucapan hampir dua jam itu, beliau meminta ahli parti berikrar untuk "mentaati perintah Presiden Umno dan bukannya Dr Mahathir" demi kepentingan parti itu.

Mahathir turut menyebutkan kononnya ada pihak berkata perbahasan kali ini tidak begitu ghairah berbanding perbahasan tahun lepas.

Beliau bagaimanapun mengulas perbahasan mengecam parti "tahun ini, sunyi sedikit tetapi kepada (pihak) yang patut dikecam, musuh parti kita, tahun ini ucapannya amat bersemangat sekali".