Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam berharap agar BN dapat 'mengikuti' persetujuan yang disepakati semasa perbincangan parti itu berhubung Akta 355 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.

"Perkara itu kita ada dibincangkan dalam BN dan saya berharap apa yang dibincangkan di BN akan diikuti.

"BN dah bincang dan ada persetujuan macam mana ia akan ditangani dan akan dibuat. Itu sahaja komen saya," katanya ringkas pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-70 di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung cadangan pindaan Akta 355 melalui rang undang-undang persendirian dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia dijangka akan dibentangkan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula esok.

Subramaniam bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai komennya itu.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu bahawa BN telah mencapai konsensus mengenai RUU 355 berkenaan.

Namun, beliau enggan mendedahkan apakah keputusan tersebut dan mengatakan ia telah dibincangkan dan mendapat keputusan serta meminta orang ramai tunggu dan lihat.

Tengku Adnan memberitahu "kesepakatan" yang dimaksudkannya ialah, sebarang keputusan yang dibuat mestilah atas dasar konsensus semua pihak dan turut mengakui BN belum membuat pendirian rasmi mengenai usul berkenaan.

Media juga melaporkan MCA, MIC dan Gerakan menentang keras usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu yang bertujuan mempertingkat kuasa mahkamah syariah di negara ini.

Malah ada pemimpin tertinggi parti berkenaan berjanji akan meletak jawatan jika rang undang-undang berkenaan diluluskan.