Bantahan kenaikan harga minyak di seluruh negara Ahad ini
Terjemahan Kerajaan digesa supaya memanfaatkan penjimatan RM2.2 bilion daripada bayaran subsidi petrol bagi meningkatkan lagi sistem pengangkutan di negara ini.
Terjemahan Kerajaan digesa supaya memanfaatkan penjimatan RM2.2 bilion daripada bayaran subsidi petrol bagi meningkatkan lagi sistem pengangkutan di negara ini.
Ketika membuat gesaan tersebut, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menganggapnya sebagai satu faktor dalam mengurangkan penggantungan rakyat Malaysia terhadap kenderaan persendirian yang menggunakan terlalu banyak produk petroleum.
Pengangkutan awam di kebanyakan negara disubsidi oleh kerajaan tetapi tidak begitu keadaannya di Malaysia, katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur bagi mengumumkan mengenai bantahan kenaikan harga minyak, yang akan diadakan di seluruh negara Ahad ini.
Turut hadir di sidang akhbar itu ialah Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen DAP bagi Bukit Bintang Fong Kui Lun.
Lim berkata, berikutan sistem pengangkutan awam yang tidak baik, maka rakyat Malaysia kini terpaksa memiliki kenderaan sendiri.
"Daripada sejumlah 3.6 juta kenderaan yang didaftar pada tahun in 1987, angka itu telah meningkat dengan banyaknya kepada 14 juta setiap tahun. Kira-kira 500,000 kereta baru memasuki jalan yang penuh sesak. Ia luar biasa sedangkan penduduk Malaysia hanya seramai 25 juta," katanya.
Menurut beliau lagi, nisbah sebuah kenderaan bagi setiap 1,000 orang di Lembah Kelang hanya rendah sedikit sahaja daripada di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Kanada.
"Lembah Kelang mempunyai lebih kenderaan bagi setiap 1,000 orang, daripada di negara Eropah Barat, walaupun Malaysia masih merupakan negara sedang membangun. Pada masa yang sama, penggunaan pengangkutan awam telah menurun daripada 34 peratus pada 1985 kepada 16 peratus sekarang," katanya.
Menurut Lim lagi, DAP membantah kenaikan harga minyak kerana langkah tersebut tidak memberi kebaikan kepada 25 juta rakyat Malaysia, terutama ketika Petronas mengaut keuntungan yang amat besar.
Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan teragak-agak untuk menggunakan keuntungan besar syarikat minyak milik negara itu sebagai penimbal pergerakan pasaran minyak antarabangsa.
Lim berkata, pihak berkuasa sepatutnya 'memberi pampasan' kepada kerugian yang dialami para pengguna berikutan kenaikan harga bahan api, dengan menyediakan insentif serta alternatif lain.
"Sudah tiba masanya bagi kerajaan memperkenalkan pakej lengkap bagi memansuhkan dwi-bayaran cukai jalan dan memperkenalkan kadar bayaran seragam bagi semua kenderaan yang sama kapisiti enjinnya serta mengurangkan kesan kenaikan bahan api," tambahnya.
Perlu disegerakan
Sementara itu, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memanggil sidang khas tiga hari Dewan Rakyat bagi menyelesaikan isu kebocoran bumbung Dewan Rakyat selepas diubahsuai dengan kos RM80 juta serta membincangkan isu kenaikan harga minyak.
Pada 28 April lalu, Dewan Rakyat telah menangguhkan persidangannya apabila berlaku kebocoran tersebut. Tiga rang undang-undang, enam usul Perbendaharaan dan usul mengenai Burma tidak sempat dikemukakan.
Menurut Kit Siang, pendedahan mengenai kerja-kerja kurang bermutu, penyeliaan dan penggunaan bahan dalam mengubahsuai banguan Parlimen, merupakan perkara yang perlu dibahaskan segera.
"Selain kejadian kebocoran di Dewan Rakyat, dua buah kerusi tempat duduk dua Senator Umno juga patah ketika Dewan Negara memulakan sidang pertamanya pada 3 Mei lalu, selepas pengubahsuaiannya.
"Kemudian, terdapat kebocoran pada siling di pusat media di Parlimen, bekalan elektrik sering terputus di dewan mesyuarat dan di blok 18 tingkat, serta keadaan tandas wanita yang mengaibkan sepertimana yang dilaporkan dalam media berbahasa Cina hari ini," katanya.
Kit Siang juga mendakwa, Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu dan Jabatan Kerjaraya (JKR) tidak mengambil serius skandal berhubung pengubahsuaian Dewan Rakyat itu.
Menurutnya, Selasa lalu, Samy Vellu dilaporkan sebagai tmenyifatkan kebocoran itu "sebagai satu masalah kecil yang tidak perlu dihebohkan".

