Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: Pemindahan organ kaedah terbaik berbanding dialisis

Pemindahan organ merupakan kaedah terbaik untuk rawatan penyakit buah pinggang berbanding prosedur rutin dialisis, kata seorang pakar pemindahan buah pinggang.

Presiden Persatuan Transplan Malaysia Datuk Dr Ghazali Ahmad berkata kaedah itu lebih baik kerana rawatan dialisis bukan sahaja memerlukan kos lebih tinggi malah dikhuatiri menimbulkan pelbagai komplikasi.

Beliau berkata pemindahan organ juga mempunyai lebih banyak kebaikan dari segi kesejahteraan hidup berbanding rawatan dialisis yang mempunyai kebaikan terhad.

"Kajian telah membuktikan setiap tahun hampir 4,000 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis gagal diselamatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelepasan peserta Program Kayuhan Basikal #KayuhanTransplan, di Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Dr Ghazali berkata kira-kira 7,000 penghidap penyakit buah pinggang direkodkan di negara ini setiap tahun.

Majoriti pesakit itu memerlukan penderma buah pinggang untuk pemindahan organ namun hanya sejumlah kecil yang berjaya menjalani prosedur itu, katanya.

"Ini kerana hanya sekitar 50 hingga 70 penderma organ yang berjaya dikumpul untuk didermakan kepada pesakit berkenaan," katanya.

Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan, Pusat Sumber Transplan Negara, Dr Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor berkata masyarakat perlu diberi pendedahan lebih meluas berhubung pendermaan organ.

Katanya ia berikutan adanya beberapa tanggapan salah mengenai pendermaan organ termasuk melibatkan hukum agama.

"Justeru, kita akan terus giat menjalankan program kesedaran tentang kebaikan menderma organ selain mengedar risalah mengenai maklumat berkaitannya," katanya.

Program #KayuhanTransplan yang bermula 22 hingga 27 Oktober ini akan disertai sembilan sukarelawan terdiri daripada lapan jururawat lelaki dan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.

Kayuhan basikal sejauh 650 kilometer itu akan melalui 12 hentian sepanjang perjalanan ke Ipoh, Perak termasuk di Menara Condong Teluk Intan dan Taman Ipoh bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pendermaan organ.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS