Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM: Dana k'jaan cukup untuk agihan bajet 2017
Diterbitkan:  Oct 22, 2016 4:02 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan dana kerajaan mencukupi untuk diagihkan kepada kumpulan sasaran seperti yang terkandung dalam Bajet 2017.

Beliau berkata dakwaan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Bajet 2017 tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan tidak mempunyai wang bagi membiayai semua inisiatif yang diumumkan, adalah tidak berasas.

"Dalam penyediaan bajet, lazimnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan telah melakukan engagement dengan pelbagai pihak dan memperoleh maklum balas mengikut sektor atau kumpulan sasaran yang mahu diagihkan dana seperti dalam belanjawan berkenaan.

"Bagi tujuan itu, tentunya beberapa konsultasi telah diadakan bukan hanya dengan Kementerian Kewangan dan Khazanah Malaysia tetapi juga dengan pelbagai pihak termasuk pihak swasta, sektor perbankan, institut penyelidikan dan sebagainya.

"Di dalam tiap-tiap belanjawan ini tentu ada unsur-unsur yang mengambil kira keberhasilan seperti berapa hasil yang diperoleh kerajaan dan tentunya ada anggaran untuk perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Penolong Penguasa Imigresen Siri 2 Tahun 2016 di Akademi Imigresen Malaysia di Port Dickson hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata walaupun bajet yang dibentangkan semalam adalah bajet defisit, tetapi kerajaan mempunyai dana yang cukup untuk diagihkan kepada kumpulan sasaran.

"Defisit itu merupakan peratusan yang kecil, tentu perkara ini difahami orang berkenaan tetapi apabila berada di sebelah sana seolah-olah mengkaburkan matanya untuk menerima hakikat inilah persediaan dan penyediaan belanjawan yang berlandaskan kedudukan kewangan fiskal (negara).

"(Ia) juga (berlandaskan) pada keadaan kewangan negara berdasarkan pendapatan negara yang diperoleh daripada beberapa sumber daripada cukai korporat, cukai pendapatan, Cukai Barang dan Perkhidmatan, cukai eksesais dan pelbagai sumber lain," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS