Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tempoh reman 4 termasuk 2 jurutera di Sabah dilanjutkan
Diterbitkan:  Oct 23, 2016 9:13 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Tempoh tahanan reman dua jurutera dan dua pembantu jurutera sebuah jabatan kerajaan di Sabah dilanjutkan lima hari lagi bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

Sumber rapat pasukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata perintah reman bagi keempat-empat individu terbabit masing-masing dikeluarkan di Mahkamah Majistret Tawau dan Lahad Datu.

"Sambungan reman terhadap keempat-empat suspek akan tamat pada 27 Okt depan,"kata sumber itu, hari ini.

Dua jurutera bahagian yang masing-masing bertugas di Tawau dan Lahad Datu serta dua pembantu jurutera yang bertugas di Tawau adalah antara 19 pegawai kanan yang ditahan SPRM pada Rabu lepas.

Sebelum ini, empat individu terbabit ditahan reman empat hari berakhir hari ini.

Menurut sumber itu, setakat ini, SPRM merampas wang tunai berjumlah RM7.2 juta daripada suspek-suspek yang ditahan dalam Op Water Fasa II.

"SPRM masih dalam proses merakam percakapan semua suspek yang ditahan untuk mengumpul lebih banyak maklumat melibatkan kes itu," kata sumber itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Pada 4 Okt lepas, SPRM menahan empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek infrastruktur berkenaan.

Bagaimanapun, keempat-empat mereka dibebaskan dengan masing-masing dikenakan ikat jamin antara RM50,000 dan RM500,000 dengan dua penjamin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS