Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat, kad nikah palsu - SPRM dakwa kakitangan JHEAT

Tiga lelaki termasuk dua kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu
hari ini atas pertuduhan menerima rasuah untuk mengeluarkan surat dan kad perakuan nikah palsu pada Mei hingga Jun lepas.

Mohd Yazuan Yatim, 31, Mohd Raduwan Abu Bakar, 43, dan Eirman
Yusdie Ahmad Hanafiah, 34, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mohd Yazuan dan Mohd Raduan, yang bertugas sebagai pembantu operasi JHEAT, masing-masing menghadapi dua pertuduhan manakala Eirman Yusdie yang bekerja sendiri pula berdepan tiga pertuduhan berhubung pengeluaran surat perakuan dan kad nikah palsu untuk pasangan Muhammad Hasleezam Sabarudin dan Nurzahidah Yacop.

Bagi tertuduh pertama, Mohd Yazuan didakwa menerima rasuah berupa wang tunai RM1,500 daripada Mohd Raduwan sebagai dorongan untuk mendapatkan surat perakuan nikah dan kad nikah secara tidak sah daripada Eirman di Pejabat JHEAT di Kuala Terengganu pada Mei lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Yazuan didakwa menerima rasuah berupa wang tunai RM1,300 daripada Eirman, yang disampaikan Mohd Raduwan, sebagai upah menyerahkan surat perakuan dan kad nikah palsu di Medan Selera Mydin Mall di Kuala Terengganu pada 5.35 petang, 19 Jun lepas.

Mohd Raduwan pula didakwa menerima rasuah berupa wang tunai RM2,000 daripada Nurzahidahm, yang dimasukkan ke dalam akaun banknya sebagai dorongan untuk mendapatkan surat perakuan dan kad nikah tidak sah, di mesin pengeluaran wang automatik Bank Rakyat cawangan Paya Keladi di Kuala Terengganu pada 4.05 petang, 24 Mei
lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Raduwan didakwa menerima rasuah berupa wang tunai RM1,000 daripada Muhammad Hasleezam sebagai upah untuk menyerahkan surat perakuan dan kad nikah palsu di Medan Selera Mydin Mall di Kuala Terengganu pada 12.30 tengah hari, 19 Jun lepas.

Eirman pula dituduh menerima rasuah wang tunai RM900 daripada Mohd. Yazuan sebagai dorongan untuk menyediakan surat perakuan dan
kad nikah palsu di bandar raya ini pada Mei lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan wang tunai RM1,300 daripada Mohd.Yazuan sebagai upah untuk menyediakan dan menyerahkan surat perakuan dan kad nikah palsu berkenaan di Wang Pak Maidin, Pantai Batu Burok di Kuala Terengganu  pada 8.40 malam, 19 Jun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Eirman turut menghadapi pertuduhan ketiga iaitu memalsukan
rekod perkahwinan di antara Mohd Nizam Adam dengan Nurzara Sofea Hafiz seolah-oleh surat dan kad nikah pasangan itu dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang.

Hakim Mohamad Haldar kemudian membenarkan Mohd Yazuan dan Mohd Raduwan diikat jamin RM5,000 dan RM7,000 manakala Eirman Yusdie RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 Nov ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah. -Bernama

Lihat Komen
ADS