Tak perlu naikkan GST, kejar peniaga 'tipu' - MATA
Kerajaan perlu melakukan penguatkuasaan bersepadu mengesan peniaga yang masih mengelak membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA).
Presidennya, Abdul Aziz Abu Bakar berkata kerajaan tidak perlu menaikkan kadar GST sebanyak enam peratus tetapi sebaliknya meningkatkan penguatkuasaan terhadap peniaga yang ingkar menjelaskan bayaran cukai tersebut.
Beliau mendakwa masih terdapat ramai peniaga yang melakukan pelbagai taktik untuk mengelak membayar GST termasuk memberi maklumat salah ketika mengisi borang percukaian.
"Langkah penguatkuasaan yang berkesan terhadap peniaga yang enggan membayar GST boleh membantu kerajaan meningkatkan hasil kutipan cukai," katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel program 'Forum Awam Pasca Bajet 2017' anjuran parti Gerakan, malam tadi.
Forum tersebut dihadiri 150 peserta terdiri daripada ahli parti, wakil persatuan peniaga dan orang awam.
- Bernama

