Terjemahan Kira-kira 2,000 pekerja kilang pengeluar peti televisyen Panasonic di Shah Alam mengadakan piket di luar tempat tempat kerja mereka hari ini kerana membantah cadangan pelaksanaan sistem baru pengurusan dan penarikan balik faedah kepada pekerja.

"Kami menentang pelaksanaan Productive Link System (PLWS), yang akan diperkenalkan oleh pihak pengurusan tidak lama lagi," kata Pegawai Perhubungan Perindustrian, Kesatuan Pekerja-Perkerja Perusahaan Elektrik (EIWU), N Letchuman, yang juga seorang kakitangan Panasonic.

PLWS dan Sistem Insentif Prestasi (PIS), yang akan diperkenalkan oleh Panasonic AVC Network Kuala Lumpur (M) Sdn Bhd, mendapat bantahan di kalangan pekerja pengeluaran. Mereka telah menyuarakan rasa tidak puashati mereka itu sejak tahun lepas lagi.

Para pekerja yang berkumpul seawal jam 7 pagi tadi, menggesa supaya PLWS dan PIS dibatalkan dan meneruskan sistem konvensional sekarang.

Melalui sistem PLWS, penilaian ke atas seorang pekerja akan dibuatkan berdasarkan kuantum prestasinya. Dengan sistem ini, semua pekerja akan menerima insentif mengikut jumlah barangan yang dihasilkan.

"Kami boleh mematuhi peraturan-peraturan ketat yang lain, tetapi bukan sehingga ke tahap pihak pengurusan menentukan harga kerja kami," kata Letchuman.

Syarikat-syarikat lain di bawah Kumpulan Matsushita Malaysia, iaitu Matsushita Electric Co. (M) Bhd (Melcom), Matsushita Compressor and Motor Sdn Bhd (MCM), telahpun melaksanakan sistem PLWS itu.

Menurut Letchuman, pihak ibu pejabat di Jepun telah memberi arahan kepada semua syarikat Matsushita melaksanakan sistem tersebut.

Semua syarikat di bawah kumpulan Matsushita group kini dikenali sebagai Panasonic, sebagai sebahagian daripada strategi syarikat untuk menggabungkan jenama Panasonic di peringkat global.

Para pekerja juga mahu supaya faedah-faedah untuk kakitangan dimasukkan ke dalam perjanjian bersama.

Mahu jawapan positif

Sebagai contohnya, kata Letchuman, kakitangan yang mengandung sebelum ini diberi uniform baju mengandung. Kini, uniform tersebut dikongsi oleh pekerja yang mengandung, katanya.

"Sebelum ini, kakitangan yang bersara diberi set televisyen. Amalan ini telahpun dihentikan sejak tahun lalu," katanya.

Mengikut Letchuman lagi, semua ini adalah antara faktor mengapa pihak pekerja dan pihak pengurusan tidak dapat mencapai persetujuan berhubung perjanjian bersama.

"Kami akan terus berpiket sehinggalah kita mendapat jawapan positif daripada pihak pengurusan," katanya.

Pengurus Kakitangan dan Hal-Ehwal Korporatnya, Ng Chin Sian pula berkata, pihak pengurusan dan EIWU masih meneruskan rundingan berhubung perjanjian tersebut.

"Kami berharap persetujuan bersama dicapai secepat mungkin memandangkan kita sudah berunding sejak 14 bulan lalu," katanya.

Perjanjian bersama itu tamat tempohnya pada 31 Mac tahun lalu .

Ng menjelaskan bahawa pihak syarikat tetap akan melaksanakan PIS untuk bertahan dalam pasaran global dengan meningkatkan dayasaing syarikat.

"Dengan matlamat untuk memberi sumbangan kepada masyarakat Malaysia, meningkatkan kemahiran pekerja adalah penting, dan selaras dengan strategi kumpulan syarikat Matsushita Malaysian," katanya ketika ditemui selepas itu.

Mengikut PIS, pekerja tidak diberi kenaikan gaji tahunan tetapi diberi sejumlah insentif berdasarkan kepada prestasi mereka setiap bulan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud yang turut hadir untuk memberi sokongan, memberitahu malaysiakini bahawa kongres itu menyokong piket tersebut berdasarkan isu yang dibangkitkan.

Beliau berharap pihak pengurusan Panasonic akan mengambil langkah segera dan tidak melewat-lewat perjanjian bersama itu.