Jabatan Mufti Perlis tidak pernah menerima permohonan rasmi berkaitan program penerangan sebuah NGO berkaitan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abdidin berkata demikian menafikan laporan “satu sumber berita yang sebelum ini sering menyebarkan maklumat tidak tepat.”

“Apapun, secara umumnya, 'preachers of hatred' memang tidak dialu-alukan,” katanya lagi di Facebook beliau.

Usul yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, yang sering dirujuk sebagai RUU355 itu, bertujuan menambah bidang kuasa mahkamah syariah daripada aspek hukuman, selain hukuman mati.

Hadi, yang juga anggota parlimen Marang, bercadang membentangkannya dalam sesi parlimen kali ini tetapi masih belum mendapat giliran berbuat demikian.