Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas anggota parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata beliau akan memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meninggalkan parti itu.

Khairuddin berkata beliau tidak menyangka tindakannya tiga hari lalu menyebabkan kekecohan dan mendedahkan parti itu dengan serangan.

Justeru itu beliau akan bertemu pengerusi BERSATU itu di Putrajaya hari ini untuk meminta maaf.

"Saya hanya ahli biasa parti BERSATU, jadi apabila saya mengambil suatu keputusan untuk keluar parti, saya rasa tiada impak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Katanya, adalah malang apabila beliau dilihat rapat dengan mahathir dan mendakwa dirinya tiada beza dengan individu yang berjuang bersama-sama bekas perdana menteri itu.

Khairuddin berada di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberikan sokongan kepada bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang dijadual dipanggil untuk disoal siasat hari ini.

Khairuddin menambah beliau mahu menumpukan isu perundangan yang dihadapinya di mahkamah dan ia menjadi sebab beliau enggan menyertai BEERSATU pada mulanya walaupun memainkan peranan penting dalam mengasaskan parti tersebut.

"Saya nak tumpu pada bidang perundangan. Saya nak selesaikan semua masalah-masalah yang saya hadapi di mahkamah sekarang ini.

"Tetapi apabila didesak oleh kawan-kawan, rakan seperjuangan, dan sebagainya, saya cuba masuk (BERSATU).

"Bila saya masuk ke dalam parti BERSATU sebagai ahli parti, saya terperangkap kerana saya berjalan ke seluruh pelusuk tanah air hampir setiap hari atas urusan ceramah, kempen dan sebagainya.

"Jadi saya tak ada masa. Kalau saya tak keluar (parti), selagi itulah saya dijemput untuk berceramah dan sebagainya," kata Khairuddin.

Lihat Komen
ADS