Kerajaan Pulau Pinang sedang mengkaji tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menolak bantahan terhadap persempadanan semula terbaru oleh suruhanjaya itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kegagalan SPR menarik balik persempadanan baru bagi kawasan pilihan raya di Pulau Pinang menyebabkan kerusi DUN Paya Terubong mempunyai 41,707 pengundi, berbanding 12,752 pengundi di kerusinya di Air Putih.

Lim masih belum menerima notis rasmi daripada SPR berhubung penolakan bantahan oleh negeri itu yang difailkan dengan SPR bulan lalu.

Lim mendakwa perbezaan antara kedua-dua kerusi itu adalah 3.27 kali, di mana Paya Terubong sahaja boleh membentuk lebih tiga kerusi.

"Mengapa ada anomali seperti ini?" soal Lim pada sidang media hari ini selepas mengumumkan Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang ke-5 yang dirancang pada 12 dan 13 November di Spice Arena.

'SPR gagal tunai tanggungjawab'

Beliau berkata Pulau Pinang membantah persempadanan semula SPR kerana tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

"SPR telah gagal menunaikan tanggungjawab atas tugasnya. SPR sepatutnya menggaris semula sempadan apabila terdapat anomali itu tetapi ia tidak berbuat demikian, dan itulah sebabnya kita bantah.

"Tetapi SPR menolak bantahan kami, dengan mengatakan bahawa ia tidak melakukan apa-apa persempadanan semula di Pulau Pinang.

"Inilah sebabnya kita membantah persempadanan semula terkini SPR," tambah setiausaha agung DAP yang juga ahli parlimen Bagan.

Lim berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya mengenai bila untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap SPR supaya Pulau Pinang boleh menuntut haknya dalam pendengaran terhadap persempadanan semula itu.

Pembangkang, terutama anggota parti Pakatan Harapan mengutuk langkah SPR sebagai usaha untuk mengekalkan kuasa BN, tetapi suruhanjaya itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Kerajaan Selangor pada 19 Oktober memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghentikan persempadanan semula ini.

Ia mahu mahkamah mengisytiharkan notis persempadanan semula pada 15 September sebagai batal dan tidak sah, selain cadangan, daftar pemilih yang digunakan dalam persempadanan semula dan draf pelan kawasan untuk Selangor.