Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker: Saya tidak arif dalam 'Googling', tetapi...
Diterbitkan:  Nov 2, 2016 3:56 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengucapkan tahniah kepada seorang ahli parlimen DAP kerana kepakaran melayari internet untuk menyanggah kenyataannya mengenai boikot yang dilakukan oleh ahli parlimen Pakatan Harapan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017 di Parlimen pada 21 Oktober.

Beliau juga mengaku sebagai tidak arif atau lalai dalam bab ‘Ggoogling’.

Pandikar merujuk kenyataan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, yang menemui satu dokumen di internet yang mendedahkan bahawa pada tahun 1981 di Britain beberapa ahli-ahli parlimen negara itu meninggalkan dewan apabila menteri kewangan membentangkan bajet.

Wakil rakyat DAP itu membangkitkan isu berkenaan sebagai susulan kenyataan Pandikar bahawa tiada ahli parlimen yang pernah bertindak keluar dari dewan apabila bajet dibentangkan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, speaker itu berkata terdapat perkara pokok antara apa yang berlaku di negara ini dan di kota London.

“Kelalaian atau kesilapan saya itu digunakan oleh YB Segambut untuk menjustifikasikan tindakan ahli-ahli pembangkang yang keluar dewan pada waktu pembentangan bajet.

“Tetapi, ada suatu perkara pokok yang tidak disebut oleh YB Segambut, iaitu tindakan ahli-ahli pembangkang keluar dewan adalah tindakan yang telah dirancang lebih awal semata-semata untuk memalukan YAB Menteri Kewangan.

“Makna kata tindakan itu didorong oleh suatu sebab iaitu bukan tidak setuju dengan kandungan bajet tetapi cuba mengaibkan YAB Menteri Kewangan secara peribadi,” katanya.

Menurut Pandikar, ini terbukti dengan tindakan wakil rakyat pembangkat itu membawa sepanduk dengan perkataan, "Siapa MO1?”

Apa yang berlaku di Britain, kata Pandikar, adalah ahli-ahli parlimen tidak bermotif untuk memalukan menteri kewangan mereka, dan mereka keluar secara perseorangan serta tanpa perancangan.

Speaker itu berkata tidak ada sebab untuk beliau memohon maaf kepada ahli parlimen pembangkang atas dakwaan beliau mengusir mereka keluar kerana mereka merancang untuk berbuat demikian atas kehendak mereka sendiri, dan juga melanggar Peraturan Mesyuarat 41 (1) (e) .

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS