Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Ibrahim Ali dilihat menjauhkan diri dari Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana perjuangan dibawa mereka tidak sehaluan dengan kehendak Presiden PERKASA itu.

Kata pengerusi BERSATU itu, Ibrahim - yang suatu ketika dulu dilihat rapat dan menjadi penyokong kuat Dr Mahathir - adalah seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Dr Mahathir BERSATU "kurang faham" apakah pendirian Ibrahim kerana beliau tidak menjelaskan kedudukannya untuk difahami.

"Kita kurang faham apa pendiriannya kerana dia (Ibrahim) tidak menjelaskan kedudukannya supaya kita dapat memahami satu daripada perkara yang kerap dibangkitkan beliau.

"Dia nak kita supaya berjuang untuk Melayu saja. Di negara ini kita perlu ambil kira bangsa lain juga," kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Ibrahim sebagai berkata beliau lebih rela mati seorang diri daripada menggadaikan prinsip perjuangannya yang mahu membela Melayu, Islam dan bumiputera.

Kata bekas anggota parlimen Pasir Mas itu, beliau sudah tidak kisah dengan mana-mana parti di negara ini yang sanggup mengetepikan dirinya demi mendapatkan undi bangsa lain.

“Biar saya mati terbujur seorang diri, biar saya mati tak ada orang kebumi bila meninggal, saya tak kisah, jenazah reput orang tak nak usung kerana takut nak usung jenazah Ibrahim Ali kerana orang lain takut tidak dapat undi.

“Saya tak kisah, saya tak kesal sedikit pun, malah saya bangga kerana sehingga kini tiada parti yang serasi dengan saya. Saya tidak sanggup gadai prinsip (bela Melayu Islam Bumiputera) saya yang saya pegang selama ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir menyifatkan calon pilihan raya presiden AS Hillary Clinton dan Donald Trump sebagai "sama-sama teruk".

"Kedua-duanya teruk. Jika seseorang bertanya kepada saya siapa yang saya akan pilih antara mereka, saya akan lebih selesa dengan Clinton berbanding Trump.

"Trump adalah orang yang tak dapat diduga kerana kita tidak tahu apa yang dia akan buat.

"Tapi itu adalah Amerika, negara yang memerintah dunia (tetapi) tidak tahu bagaimana untuk memilih pemimpin yang baik," katanya.