Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS menggesa kerajaan memperbaiki sistem apungan harga petrol untuk jualan runcit yang digunakan sekarang atau menukar terus sistem tersebut dan menggantikannya dengan sistem lebih baik.

Sistem yang digunakan sekarang seolah-olah tidak relevan dengan harga pasaran semasa minyak mentah dunia yang menjadi tanda aras harga runcit petrol di dalam negara.

Pemuda PAS berpendapat sistem apungan harga petrol untuk jualan runcit yang digunakan sekarang mengelirukan dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat setiap kali berlaku pergerakan harga runcit bahan berkenaan.

Kekerapan kenaikan dan penurunan yang berlaku menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga barangan serta perkhidmatan yang menimbulkan kemarahan serta keresahan rakyat di kala ketidaktentuan ekonomi negara.

Setiap kali berlaku kenaikan harga runcit petrol, akan ada kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.

Namun apabila berlaku penurunan harga, tiada langsung berlaku penurunan harga barangan dan perkhidmatan yang dinaikkan sebelumnya.

Akibat harga runcit petrol yang tidak stabil, cetusan kesan rantaian akibat daripada keadaan itu cukup mencengkam kehidupan rakyat dari segenap sudut yang sememangnya sudah terhimpit.

Kenaikan dan penurunan harga runcit petrol yang tidak sekata dengan harga pasaran minyak mentah sedunia turut menimbulkan keraguan dan kemarahan di kalangan rakyat.

Harga yang tidak sekata di dalam negara dan pasaran semasa dunia menimbulkan prejudis sama ada kerajaan benar-benar meletakkan harga sebenar petrol dalam negara mengikut harga pasaran atau hanya melalui perkiraan mudah yang hanya menguntungkan sebelah pihak.

Pemuda PAS berpendapat sudah sampai masanya untuk kerajaan merombak semula sistem apungan sedia ada secara total atau mengkaji kaedah dan sistem baru yang lebih sesuai bagi menetapkan harga runcit petrol.

Pada masa sama, kerajaan juga disarankan untuk mengkaji semula struktur perniagaan hiliran untuk produk-produk petroleum seperti petrol RON95, RON97 dan gas petroleum cecair (gas memasak) bagi tujuan domestik yang memberi kesan secara langsung kepada pengguna domestik.

Langkah ini perlu bagi memastikan pengguna sasaran mendapat faedah semaksimum mungkin dan bersesuaian dengan taraf hidup di kawasan masing-masing.

Penyelesaian yang dicapai hendaklah bersifat menyeluruh bagi memastikan isu ini tidak terus membelenggu masyarakat, termasuk golongan kelas pertengahan dan bawahan.

Kaedah pengapungan terkawal ketika ini hanyalah langkah sementara memandangkan harga pasaran minyak dan ekonomi dunia kini tidak lagi menentu, selain tiada tanda-tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat ini.

Biarlah ia merupakan kaedah tepat, relevan serta lebih sesuai dengan keadaan semasa dalam negara dan harga pasaran semasa minyak mentah dunia.

Jadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, bukan hanya hendak memperolehi keuntungan semata-mata.


KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN ialah naib ketua Pemuda PAS

Lihat Komen
ADS