Suruhanjaya polis: Benar-benar komited atau hanya cakap kosong?
Terjemahan Adakah 125 perakuan yang disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Polis akan dilaksanakan atau semuanya hanya cakap-cakap kosong sahaja?
Inilah persoalan utama yang ditimbulkan oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang (foto) yang turut menunggu di pejabat suruhanjaya tersebut di Wisma Selangor Dredging di Kuala Lumpur pagi tadi untuk mendapat salinan laporannya, yang diedarkan mulai jam 10 pagi.
Antara soalan pertamanya ialah "...sama ada perakuan tersebut meliputi semua aspek yang diperlukan untuk menghasilkan satu pembaharuan yang bermakna, untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti, kesaksamaan, keberkesanan, kecekapan dan profesionalisme pasukan polis; dan setakat mana dan secepat mana kesediaan dan kesanggupan kerajaan untuk melaksanakan perakuan tersebut".
Laporan setebal 607 muka itu, yang dijual dengan harga RM100, disediakan oleh anggota suruhanjaya itu yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah, selepas mengkaji dan mengumpulkan pelbagai maklumbalas mengenai operasi polis.
Lim mahu tahu sama ada kerajaan akan sanggup dan komited untuk menerima dan melaksanakan perakuan tersebut.
"Suruhanjaya tersebut mengambil masa 18 bulan untuk membuat perakuan tersebut dan saya harap pasukan petugas (ditubuhkan Rabu lalu dan diketuai sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tidak memerlukan 18 bulan lagi untuk mengkajinya," katanya kepada pemberita.
Bawa ke sidang Parlimen
Wakil-wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbendaharaan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara, menganggotai pasukan petugas tersebut, yang akan menyelia pelaksanaannya perakuan bekenaan dalam tiga fasa.
Lim mencadangkan agar keseluruhan isu laporan tersebut diturun-muat di lamanweb Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, sepertimana yang diamalkan di negara-negara Dunia Pertama.
Beliau juga menggesa supaya cadangan suruhanjaya itu mengenai penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dibawa ke persidangan Parlimen mulai 20 Jun depan untuk dibahas dan diluluskan.
Beliau menggesa supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa terpilih Parlimen untuk mengawasi tugas polis dan tindakan-tindakan kerajaan dalam melaksanakan perakuan-perakuan tersebut.
Lim juga berkata, beliau ingin menemui Abdullah untuk menjelaskan mengenai kelembapan proses pembaharuan dan permodenan Parlimen.
Turut menemani Lim pagi tadi ialah Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun.
Persepsi orang ramai
Orang ramai beratur menunggu di pejabat suruhanjaya tersebut seawal jam 9 pagi untuk membeli 1,000 salinan laporan itu yang disediakan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.
Antara mereka ialah seorang pesara polis, Maurice Cheong, 74, yang mahu mendapatkan laporan tersebut "untuk mengetahui apa yang tidak kena dengan pasukan polis sekarang".
Menurut beliau, jenis dan konsep kepimpinan pasukan polis akan menentukan persepsi orang ramai terhadap pasukan tersebut.
Cheong, yang berkhidmat dalam pasukan polis selama 37 tahun, berkata polis yang dilatih oleh pihak British sangat dihormati orang awam.
"Anggota polis mempunyai lebih kuasa kerana mereka berkhidmat dengan jujur untuk rakyat. Orang awam tidak takut untuk mendapatkan bantuan bila memerlukannya, dan anggota polis menjadi pelindung kepada mereka," katanya.
Bagaimana, katanya, hari ini keadaanya sudah berubah di mana polis tidak melayan orang awam dengan baik, sehingga menimbulkan kesan negatif.
Seorang pesara, Abdul Kudus Alias, 74, berkata semua perakuan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh kerelaan hati.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan pada kebiasaannya "hanya bercakap sahaja, tetapi tidak melakukannya".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.