Jamal dakwa baju merah tak dapat dana dari mana-mana pihak
Ketua bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunis mendakwa gerakan baju merah yang diketuainya tidak mendapat dana daripada mana-mana pihak.
"Baju merah ini wujud di atas kesedaran dan kebencian meluap-luap terhadap apa yang dilakukan oleh BERSIH. Akhirnya kami muncul atas dasar maruah demi mempertahankan agama dan bangsa.
"Kami tidak dapat dana daripada mana-mana," katanya dalam wawancara dengan Sinar Harian hari ini.
Katanya, perjuangan baju merah diasaskan dalam semangat perjuangan yang berteraskan agama, bangsa dan negara, maka oleh itu ia tidak perlu dibayar.
"Kalau ada pun, sumbangan sikit-sikit untuk makan dan minum, jadi ia tidak ada masalah," katanya.
Jamal juga mempersoalkan dana yang diterima oleh BERSIH dan Malaysiakini yang didakwanya daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan jutawan Amerika, George Soros.
Katanya, beliau sendiri merasa terkesan dengan aktiviti spekulasi mata wang dilakukan Soros pada 1998.
"Kita pun turut merasai bahangnya.Saya pada ketika itu sebagai peniaga merasai bagaimana kejahatan yang dilakukan oleh Soros ini. Jadi bila kita lihat siapakah Soros ini dan bagaimanakah hubungan BERSIH dan Malaysiakini terlibat, ini yang menimbulkan kebimbangan," katanya.
Dalam wawancara itu Jamal turut menafikan menjadi punca ketegangan kaum di negara ini seperti didakwa pembangkang.
"Apa pun yang mereka katakan saya tidak peduli. Selama ini pun, apa saja kebaikan yang dilakukan kerajaan seperti pemberian BR1M dan sebagainya pun mereka kata ia tak baik.
"Sudah pasti mereka akan pusing 360 darjah apa yang mereka ingin katakan," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran dan ketua pengarang kumpulan, Steven Gan menafikan dakwaan Jamal bahawa geran OSF diberikan dengan tujuan menjatuhkan kerajaan.
Satu penjelasan terperinci diberikan mengenai isu ini, manakala OSF juga menafikan bahawa ia mendorong agenda untuk menjatuhkan kerajaan.
Premesh juga menjelaskan bahawa geran tersebut adalah untuk KiniTV yang digunakan bagi menghasilkan program Realiti Sarawak dan Sekilas Bumi Kenyalang.

