Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anggota baju biru kawal baju merah, keadaan seperti biasa di M'kini
Diterbitkan:  Nov 5, 2016 5:50 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Jalan menuju ke pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya kelihatan seperti zon konflik apabila kenderaan polis dan puluhan anggotanya, termasuk pasukan anti-rusuhan, berkawal.

Kehadiran polis yang ramai berjaya menghalang peserta baju merah mengadakan demonstrasi secara langsung di luar pejabat portal berita itu petang ini.

Sebaliknya, kira-kira 700 daripada mereka berkumpul 80 meter di pintu masuk utama Taman Perniagaan PJ51 yang menempatkan kompleks lapan bangunan, termasuk Malaysiakini.

Ketika akhir bantahan selama dua jam itu, baju merah bagaimanapun berarak sehingga 20 meter dari pejabat Malaysiakini dan disekat oleh halangan 100 anggota polis dan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) .

Di belakang mereka, lapan kenderaan polis dan tiga trak merah meriam air ditempatkan. Kumpulan baju merah berkumpul kira-kira 30 minit di situ sebelum memilih untuk bersurai.

Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan memuji polis kerana menjaga keselamatan bangunan dan kakitangan portal berita itu.

"Kami membuat laporan polis semalam berhubung ancaman 'meruntuhkan' bangunan kami. Saya gembira polis mengambil perhatian serius," katanya.

Sementara itu, keadaan berjalan seperti biasa di Malaysiakini, dengan berpuluh-puluh wartawan dan editor bekerja di dalam bangunan ketika baju merah membuat bantahan di luar.

Gan berkata portal berita bebas itu menghadapi pelbagai ancaman dan ugutan, tetapi ini tidak menghalang ia daripada terus menjalankan tugasnya.

"Sejak 17 tahun yang lalu, kita telah melalui beberapa kali ujian, dan setiap kali itu kami muncul lebih kukuh," katanya.

Bagi bantahan itu, Gan berkata, baju merah mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan secara aman.

"Biarlah mereka menyuarakan pendapat mereka. Tetapi mereka juga perlu menghormati hak orang lain untuk meluahkan perasaan mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS