Cadangan lantik bekas KSU Najib tak dibentang - PMO
Kertas cadangan pelantikan bekas ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebagai timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dibentang dan dibincang semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja lalu.
Pengarah Media Pejabat Perdana Menteri (PMO) Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata bahawa kertas cadangan bagi tujuan itu telah ditarik balik.
Menurutnya, penarikan balik itu juga telah dimaklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad sebelum persidangan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
"Kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 3 Nov bahawa cadangan itu telah ditolak Majlis Raja-Raja tidak timbul dan tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Azmin pada sidang DUN Selangor 4 November lalu berkata cadangan berkenaan tidak diterima oleh Majlis Raja-Raja.
“Tiga minggu lalu, diangkat satu nama untuk dilantik timbalan pengerusi SPR, sedangkan beliau merupakan ketua setiausaha perdana menteri.
“Syukur cadangan itu ditolak oleh Majlis Raja-Raja. Inilah bukti SPR dipergunakan BN," katanya ketika menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam-BN).
Rosni meminta Azmin untuk membekalkan bukti campur tangan BN dalam urusan pilihan raya.

