Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan heret DAP, saya tiada setiausaha sulit - Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy menafikan laporan Bernama yang memetik Satees Muniandy adalah setiausaha sulit beliau.

Satees, seorang ahli Pemuda Sosialis DAP dan ahli majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai akan disoal siasat di ibu pejabat polis Bukit Aman pada jam 3 petang hari ini.

Ia berikutan catatan Satees di laman sosial Facebook pada 3 November yang lalu dengan ulasannya mengenai larangan Sultan Johor ke atas demonstrasi jalanan di negeri itu.

"Beliau bukan setiausaha peribadi atau politik saya, saya tidak mempunyai kedua-duanya," ujar Ramasamy kepada Malaysiakini.

"Jangan cuba heret DAP atau saya ke dalam isu ini kerana ia merupakan kenyataan peribadi Satees," kata ADUN Prai itu.

Ramasamy menambah, Satees telah ditegur oleh parti dan beliau memohon maaf secara terbuka serta menarik balik kenyataannya di Facebook itu.

Bernama semalam melaporkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis ke atas Satees yang disebut sebagai 'setiausaha sulit timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy' kerana didakwa menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di laman sosial itu.

NGO terbabit ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).

Kumpulan yang diketuai oleh Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah itu menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya dengan menyifatkan tindakan Satees sebagai 'tidak dapat diterima'.

Ketika dihubungi, Satees berkata, beliau akan bertanggungjawab terhadap kenyataannya itu dan kini sedang dalam perjalanan ke Bukit Aman dari Pulau Pinang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS