Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH ingatkanTPM, menteri pernah cuba tetapi gagal
Diterbitkan:  Nov 8, 2016 2:54 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

BERSIH hari ini mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan pernah mengisytiharkan pemantau pilihan raya itu sebuah pertubuhan haram tetapi tewas di mahkamah.

Ini susulan kenyataan Ahmad Zahid yang juga adalah Menteri Dalam Negeri bahawa BERSIH dan juga pergerakan baju merah yang berkaitan Umno, tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan oleh itu dilarang daripada mengadakan sebarang perhimpunan.

“Sekiranya Timbalan Perdana Menteri lupa, isu bahawa BERSIH tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah pun dibangkitkan pada tahun 2012.

“Tindakan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

“Hakim Datuk Rohana Yusof berkata bahawa keputusan itu telah tercemar dengan tidak rasional’, kata BERSIH dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh demikian, menurut BERSIH, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai kuasa, sama ada di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta Pertubuhan 1966, untuk mengharamkan BERSIH atau baju merah daripada berhimpun.

BERSIH , yang diketuai oleh Maria Chin Abdullah, didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 manakala pergerakan baju merah yang diterajui oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos pula tidak berdaftar.

BERSIH merancang untuk mengadakan perhimpunannya pada 19 November ini, yang antara lain menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1MDB.

Jamal hari ini memberi amaran bahawa di mana BERSIH5 berada di situ merah akan bersama.

Katanya, beliau telah lama bersedia untuk berdepan dengan BERSIH5.

Dalam satu kenyataan, BERSIH berkata pihaknya telah memenuhi semua keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

“Pada 28 Oktober lalu, BERSIH 2.0 telah menyerahkan notis 10 hari yang dikehendaki di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman, IPD Dang Wangi, IPD Brickfields dan IPK Kuala Lumpur.

“Notis tersebut bertujuan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa perhimpunan BERSIH5 akan diadakan pada 19 November, dari 10 pagi hingga 6 petang.

“Kami ingin menegaskan bahwa notis tersebut bukan suatu permohonan atau kebenaran untuk mengadakan perhimpunan tersebut,” katanya.

Oleh itu, pergerakan berkenaan berkata kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa BERSIH tidak mengemukakan notis untuk konvoi adalah salah dan menuntut beliau menarik balik dakwaan yang tidak berasas itu.

BERSIH juga memberi jaminan bahawa ia akan mematuhi arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak memasuki Dataran Merdeka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS