Laporan: Clinton miliki 90 peratus peluang menang
Dengan berbaki beberapa jam lagi sebelum rakyat Amerika Syarikat (AS) keluar mengundi, Hillary Clinton dari Demokrat mempunyai kira-kira 90 peratus peluang untuk menewaskan calon Republikan, Donald Trump.
Menurut projek akhir Reuters/Ipsos States of the Nation, bekas setiausaha negara itu mendahului Trump dengan kira-kira 42 hingga 45 peratus dalam undi popular.
"Clinton berada di landasan yang betul untuk memenangi 303 undi dalam sistem kumpulan pengundi berbanding Trump yang hanya menguasai 235 undi.
"Dengan itu, Clinton dapat memenuhi keperluan mendapatkan 270 undi untuk menang, menurut dapatan kajian itu," menurut kajian itu, memetik laporan Reuters.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Presiden AS, Barack Obama memberi amaran bahawa kemajuan yang dimikmati oleh negara tersebut selama lapan tahun yang lalu akan menjadi sia-sia terkebelakang jika Trump menang hari ini, memetik laporan Press Trust of India (PTI).
Obama dan Clinton adalah dari parti yang sama.
"Semua kemajuan yang menjadi sia-sia jika kita tidak menang esok (Selasa)," kata Obama pada himpunan pilihan raya di Michigan semalam (Isnin) yang menjadi kubu kuat Demokrat sejak beberapa dekad yang lalu tetapi lebih cenderung kepada Republikan masa ini.
Michigan adalah pusat operasi kepada tiga gergasi motor AS termasuk Ford dan General Motors yang telah terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi tahun 2008.
Syarikat-syarikat automotif berkenaan kembali pulih ekoran dasar-dasar yang dijalankan semasa pentadbiran Obama dalam tempoh lapan tahun lalu.
Kira-kira lapan tahun yang lalu, Obama menempa sejarah dengan berjaya mendapat kepercayaan rakyat AS untuk memilihnya sebagai presiden kulit hitam pertama negara itu.
Kini, tiba pula giliran Clinton untuk mencipta sejarah baru sebagai wanita pertama yang bakal menerajui tampuk pemerintahan kuasa besar dunia itu.
Jika menyorot kembali sejarah politiknya, Clinton sebelum ini melakar sejarah sebagai wanita pertama yang memegang dalam pelbagai jawatan penting dalam kerajaan AS.
Antaranya, beliau merupakan wanita pertama memenangi pencalonan presiden AS selepas mendapat sokongan Parti Demokrat pada konvensyen parti itu di Philadelphia.

