Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor kesal apabila cadangan usul bagi memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negeri ini ditolak oleh Speaker Dewan.

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak yang mewakili semua wakil rakyat berkenaan berkata, usul yang dihantar beliau pada 13 Oktober lalu kepada dewan ditolak oleh Speaker Hannah Yeoh dalam kamar pada 2 November atas alasan institusi mahkamah syariah adalah di bawah sayap kehakiman dan tidak tertakluk di bawah bidang kuasa legislatif.

"Kami berasa kesal dengan penolakan usul ini memandangkan ia perlu dibahas demi memperkasa dan memartabatkan institusi mahkamah syariah di Selangor," katanya dalam sidang akhbar di lobi DUN Selangor, di Shah Alam hari ini.

Sulaiman berkata, kerajaan BN yang selama ini mendukung pemerkasaan Institusi Mahkamah Syariah Selangor sehingga menggubal dan meluluskan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 dan sudah tentu beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memartabatkan institusi itu.

Katanya, beberapa penambahbaikan seperti cadangan meningkatkan martabat mahkamah syariah agar bersamaan dengan prestij dan status mahkamah sivil perlu diberi keutamaan termasuk menambah dari tiga peringkat mahkamah syariah sedia ada kepada lima peringkat seperti mahkamah sivil.

"Soal penjagaan dan naik taraf premis-premis mahkamah syariah juga perlu dibahaskan. Ini kerana ada kes siling bangunan mahkamah rendah yang runtuh dan memerlukan perhatian serius dari kerajaan negeri," dakwanya.

Sulaiman berkata, pihaknya langsung tidak dapat menerima alasan Speaker bahawa usul ditolak sebab institusi mahkamah syariah tidak tertakluk di bawah bidang kuasa legislatif.

"Ini kerana pada hemat saya, konsep pengasingan kuasa yang dimaksudkan ialah pada soal 'penghakiman' sahaja yang dibuat pihak mahkamah yang mana pihak legislatif mahupun eksekutif tidak boleh campur tangan," katanya.

- Bernama