Bukit Bendera banjir? Mustahil, kata Guan Eng
Klip video yang memaparkan berlakunya banjir di stesen kereta api sebelah atas Bukit Bendera tersebar sejak semalam, sekali gus memberi gambaran keadaan banjir begitu besar dan boleh menjejaskan kawasan tanah tinggi itu.
Justeru, kerajaan negeri dikritik hebat kerana tidak dapat menangani masalah banjir sehingga ada beberapa pihak yang menggambarkannya sebagai 'yang paling teruk' dalam sejarah Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan bahawa ikon pulau mutiara itu ditenggelami air.
Beliau menunjukkan video yang sama semasa sidang media di Komtar hari ini dengan paparan individu yang dilihat mencedok air banjir menggunakan baldi.
Lim berkata: "Bukit Bendera banjir? Mustahil. Jika Bukit Bendera banjir, seluruh Pulau Pinang akan tenggelam."
Tambah beliau, hanya terdapat takungan air di stesen atas itu dan operasi kereta api berjalan seperti biasa.
Namun, Lim mengakui keadaan banjir pada tahun ini adalah luar biasa, bukan sahaja dari segi hujan tetapi juga kekerapan banjir kilat.
Pulau Pinang telah mengalami empat insiden banjir kilat yang serius dengan kereta ditenggelami air dan mereka yang berada dalam perjalanan ke sekolah atau kerja terkandas.
Walaupun dikritik kerana pembangunan berlebihan, Lim menegaskan banjir turut berlaku di kawasan-kawasan yang tidak terlibat dengan apa-apa projek pembangunan.

