Laporan polis terhadap FB 'Sarawak keluar Malaysia 2021'
Dua belas laporan polis dibuat terhadap laman facebook 'Sarawak Keluar Malaysia 2021' setakat jam 9 malam tadi, berkaitan catatan terbarunya membabitkan ketua menteri Sarawak.
Ketua CID Sarawak Datuk Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam berkata, tujuh laporan dibuat di Kuching, tiga di Miri dan satu masing-masing di Padawan dan Serian.
Beliau berkata polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Kami sedang mengesan pengendali halaman facebook itu," kata beliau dalam satu kenyataan di Kuching.
Kelmarin, Pejabat Ketua Menteri (CMO) Sarawak menafikan laporan di media sosial yang menuduh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyalahkan pihak berkuasa persekutuan dan Umno tentang 'masalah' yang menjejas negara.
CMO berkata catatan itu dilaporkan datangnya dari akaun Facebook 'Sarawak Keluar Malaysia 2021'.
- Bernama

