Ular sawa ditemui di premis Malaysiakini
Seekor ular sawa ditangkap di luar pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya hari ini.
Ular sawa itu - yang dianggarkan empat kaki panjang - ditemui pembersih premis dan pengendali kafeteria di situ ketika tiba awal pagi ini.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pasukan keselamatan Business Park PJ51 terus dimaklumkan mengenainya.
"Anggota Keselamatan dari Business Park PJ51 cepat bertindak sebaik sahaja dimaklumkan mengenai ular sawa itu," kata Editor Grafik Malaysiakini, Azlan Zamhari - kakitangan yang terawal tiba di pejabat pagi ini.
Menurutnya, mereka mengikat kepala ular sawa itu dengan tali.
"Dua puluh minit kemudian, pasukan Jabatan Bomba tiba dan membawa ular sawa itu ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara," kata Azlan.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengendali kantin, yang dikenali sebagai Erwin, kerana cepat menghubungi pihak berkuasa.

