Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menasihatkan golongan usahawan supaya sentiasa tenang sekiranya menghadapi sebarang rintangan dan tidak mudah berputus asa.

Bercakap di hadapan kira-kira 3,000 peserta eUsahawan, Najib menyarankan agar mereka sentiasa optimis serta fokus terhadap perkara yang diceburi.

"Dalam hidup kita, kita jangan rasa putus asa walaupun berdepan pelbagai rintangan atau halangan atau orang yang balun kita, atau ditikam dari belakang. Kita jangan putus asa.

"Kita mesti sentiasa optimis dan jangan lari dari fokus kita. Fokus kita itu mesti berdasarkan apa sebenarnya yang nak dicapai.

"Kita mesti ada minat," katanya ketika menjawab soalan seorang peserta eUsahawan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Selain itu, ketika ditanya apakah perkara yang mampu menaikkan semangat setiap kali bangun pagi, Najib secara berseloroh memberitahu bahawa bercakap dengan diri sendiri.

Katanya, ini mampu memberi tenaga positif.

"Tahu apa beza gila dan gila-gila?

"Bila kita bercakap (dengan diri sendiri) selepas itu kita jawab balik, itu maknanya kita gila.

"(Tetapi) bercakap dengan diri sendiri ia mampu memberi tenaga positif kepada diri.

"Tetapi jangan jawab balik (bila bercakap dengan diri sendiri) sebab kalau jawab balik, kita gila," kata Najib sambil ketawa.