Balik dari China, PM ajak rakyat 'lapar kejayaan'
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menasihati rakyat Malaysia agar meneladani semangat “dambakan kejayaan” rakyat China.
Beliau yang baru balik dari lawatan ke negara itu berkata, populasi negara China yang tinggi menyebabkan rakyatnya perlu ada daya kesungguhan untuk berjaya.
"Saya baru balik daripada negara China dan bila saya tengok pada keadaan di sana, saya dapat buat kesimpulan bahawa negara China ada 1.3 billion manusia, kalau nak berjaya orang putih kata you must be hungry for success.
"Maknanya, kita mesti 'lapar kejayaan' ataupun kita mesti ada daya kesungguhan untuk berjaya.
"Tapi kalau kita rasa terlalu selesa dengan kedudukan, kalau kita terlalu easy going, di China kalau tak ada kesungguhan, dia akan tewas sebab 1.3 bilion manusia lahir (di sana)," kata Najib.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan Majlis Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Bagaimana China manfaatkan Internet
Sementara itu, Najib turut berkongsi dengan para hadirin bagaimana China memanfaatkan sistem atas talian untuk kebanyakan urusan mereka.
Beliau memberi contoh sistem pinjaman kecil di republik itu yang kini mudah dan cepat, yang urusannya hanya mengambil masa 3 minit sahaja.
"Gambaran dunia sekarang ini, di China sudah ada sistem yang kalau kita buat permohonan pinjaman melalui atas talian berdasarkan big data, maknanya segala perbelanjaan dan pendapatan kita selama beberapa tahun sudah ada dalam sistem itu.
"Komputer dan perisian boleh buat penilaian sama ada kita akan menjadi peminjam yang baik atau tidak, sistem ini ambil masa cuma 3 minit saja.
"Itu dikatakan 'Sistem 310', (iaitu) 3 minit proses, 1 minit pindah duit dalam akuan kita, 0 (bermakna) tidak ada interaksi dengan manusia," katanya.

