Seorang lelaki dihukum tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini, selepas mengaku bersalah mengugut untuk menyebarkan gambar yang boleh mengaibkan rakan lelakinya, Rabu lepas.
Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurulsyukri Abd Hamid, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut untuk menyebarkan gambar boleh mendatangkan aib kepada kerani akaun, Mohammed Basir Suaib, 40.
Umzarul An-Nur turut menasihati lelaki itu yang bekerja sebagai pelukis batik supaya jangan terlampau mengikut emosi dan menjaga tingkah lakunya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaki lima bangunan berhampiran bangunan CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibunegara pada jam 10.30 pagi 9 November lepas, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana itu kesalahan pertamanya serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yusha memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keadaan mangsa kerana tertuduh telah menyebabkan mangsa trauma dan nama baiknya tercemar.
- Bernama
