Terjemahan Beberapa bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) menyuarakan kekecewaan terhadap dasar-dasar syarikat syarikat tersebut, yang mereka dakwa, telah menafikan hak krew kabin wanita mendapatkan cuti bersalin dan faedah persaraan sepertimana yang dinikmati kakitangannya yang lain.

Mereka menuntut pihak syarikat penerbangan itu supaya mengubah dasar-dasar tersebut agar semua kakitangan pejabat dan krew kabin wanita, sama-sama layak menikmati faedah ketika bersalin dan faedah persaraan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar semalam, mereka menuntut pihak pengurusan MAS supaya memberhentikan amalan diskriminasi terhadap krew kabin wanita supaya dasar-dasar syarikat itu sehaluan dengan dasar-dasar kerajaan dan negeri dalam menghapuskan amalan diskriminasi jantina.

Sidang akhbar itu diadakan oleh Kumpulan Bertindak Bersama Menentang Keganasan Terhadap Wanita ((JAG-VAW) di Petaling Jaya.

Menurut bekas pramugari Dollie Tan, kakitangan lelaki dan wanita yang bertugas di pejabat layak untuk bersara pada umur 55 tahun. Kakitangan wanita pula dibenarkan mengambil cuti bersalin bergaji.

Bagaimanapun, katanya, sejak 23 tahun lalu, MAS telah melakukan diskriminasi terhadap krew kabin wanita di mana umur persaraan mereka ialah 40 atau 45 tahun jika menjadi penyelia, manakala krew kabin lelaki itu bersara pada umur 55 tahun.

Dipaksa berhenti

Krew kabin wanita juga tidak dibenarkan mengandung dalam tempoh tujuh tahun pertama mereka berkhidmat dengan syarikat penerbangan tersebut.

Selepas tujuh tahun, mereka hanya dibenarkan mempunyai dua orang anak. Mereka yang mempunyai lebih daripada dua anak, dipaksa berhenti atau perkhidmatan mereka ditamatkan.

Tan, 43, melahirkan anak perempuannya Ogos lalu. Dia berkhidmat sebagai penyelia penerbangan ketika dia meletakkan jawatan November lalu, selepas 16 tahun berkhidmat denan MAS.

S eorang lagi pramugari, Melissa Yong, 36, (foto, kiri) berkata beliau diberitahu supaya berhenti awal tahun lalu oleh pihak pengurusan kerana dia telah "melanggar syarat-syarat dalam perjanjian bersama" kerana mengandung.

Yong juga mendakwa krew kabin diminta menandatangani banyak dokumen ketika mereka diambil bekerja dengan syarikat penerbangan tersebut.

"Kami diminta menandatangani dan mengembalikan segera dokumen-dokumen tersebut. Kami tidak mempunyai cukup masa langsung untuk meneliti perjanjian tersebut. Lagi pula, ketika itu, kami baru berusia 18 atau 19 tahun," katanya.

Tiada salinan kontrak

Menurut Yong lagi, mereka hanya diberi satu salinan surat tawaran kerja, tanpa sebarang salinan kontrak atau perjanjian bersama.

Pengarah eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Ivy Josiah, yang hadir sama di sidang akhbar tersebut, berkata sudah sampai masanya bagi MAS mengkaji semula perjanjian bersamanya supaya kepentingan krew kabin wanitanya mendapat perlindungan sewajarnya.

Manakala Pengarah Eksekutif Majlis Pembangunan Wanita, Maria Chin Abdullah pula berkata hak bersalin adalah merupakan hak wanita dan pihak syarikat tidak mempunyai hak untuk menentukan syarat-syarat yang ketat mengenainya dalam perjanjian bersama.

"Semua kakitangan lain syarikat penerbangan itu mendapat faedah penuh bersalin, tetapi tidak pula kepada krew kabin wanita," tegasnya.

Bekas ahli pramugari dan bekas ahli kesatuan sekerja MAS Siti Rahilah Mohd Hashim, 47, memberitahu pemberita bahawa "sebagai sebuah kesatuan sekerja, kami sentiasa melakukan yang terbaik untuk mengemukakan cadangan demi faedah ahli-ahli kami".

Siti menjadi ahli kesatuan sekerja itu pada awal tahun 1990-an dan berhenti berkhidmat dengan MAS pada hujung tahun 1997.

Manakala Tabun Beatrice Fernandez ditubuhkan di bawah naungan jawatankuasa Wanita Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk membantu bekas pramugari MAS itu menyelesaikan bayaran guamannya.

Perkhidmatannya ditamatkan pada tahun 1991 oleh syarikat penerbangan itu kerana dia mengandung. Mahkamah telah menolak rayuan terakhirnya baru-baru ini.

Nota: Maklumat mengenai tabung tersebut boleh diperolehi daripada pengerusi bahagian wanita MTUC, Noorlaila Aslah.