Desakan supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditegakkan tidak sepatutnya dianggap sebagai sebagai percubaan mahu membawa Sabah keluar dari persekutuan, kata wakil rakyat Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing.

Ini susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bahawa pemimpin Sabah tidak seharusnya berang dan mahu meninggalkan persekutuan, kerana kerajaan persekutuan terbuka untuk membincangkan peruntukan MA63.

"Setiap kali kami menuntut MA63 ditimbulkan ini tidak boleh dianggap percubaan mahu berpisah, idea yang mendakwa penyokong MA63 sebagai anti-Malaysia," kata Bumburing, yang juga Presiden Parti Cinta Sabah.

"Kita di Sabah tidak mahu keluar dari Malaysia dan ini tidak diperuntukkan dalam MA63, jika kita mahu berbuat demikian maka kita perlu meluluskan Akta Sabah di Parlimen British.

"Tetapi kita bukan mahu mewujudkan Akta Sabah di Parlimen British. Belum lagi. Kami hanya mahu apa yang sepatutnya menjadi milik Sabah, seperti yang dijamin di bawah MA63," kata ADUN Tamparuli itu dalam satu kenyataan.

Bercakap pada Konvensyen Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) di Penampang, Sabtu lalu, Najib menggesa Sabah kekal dalam persekutuan.

Beliau juga memberitahu perwakilan Upko bahawa hak rakyat Sabah tidak akan sesekali diambil sebaliknya akan terus dipertahankan demi kemakmuran masyarakatnya.

Bumburing berkata antara cara untuk melakukan ini adalah untuk memastikan semua pendatang tanpa izin yang memasuki Sabah tidak diberikan kerakyatan Malaysia.

[Baca berita penuh]