Tempoh hingga esok bagi mualaf hadir di Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Persekutuan memberi K Pathmanathan @ Mohd Ridhuan Abdullah tempoh sehingga esok bagi hadir ke mahkamah tertinggi negara ini.
Tindakannya itu bagi membatalkan dakwaan penghinaan dan membawa anak bongsunya, Prasana Diksa (Ummu Habiba), seperti yang diperintahkan kepada bekas isterinya M Indira Gandhi.
Pada 29 April tahun ini, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) untuk menangkap Ridhuan berhubung kes perebutan hak penjagaan anak antara agama.
Ini kerana mualaf itu gagal membawa Prasana di mahkamah, seperti yang diperintahkan.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata panel lima hakim akan membuat keputusan esok sama ada peguam Ridhuan, Hatem Musa akan dibenarkan untuk berhujah di mahkamah dalam kes ini atau sebaliknya.
Hakim Zulkefli berkata demikian selepas peguam Indira Gandhi, M Kulasegaran membuat bantahan awal bedrhubung kehadiran Hatem.
Ia berikutan Ridhuan masih belum dibebaskan daripada dakwaan menghina berikutan penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 29 April.
Dalam penghakiman itu, panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan permohonan Indira Gandhi untuk menguat-kuasakan semula perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di Ipoh yang memaksa Khalid untuk mengeluarkan waran engkar terhadap Ridhuan.
"Jika beliau (Ridhuan) tidak ada esok kita akan membuat keputusan sama ada kamu boleh mewakilinya dan berhujah," kata Hakim Zulkefli memberitahu Hatem.
Kulasegaran dan peguam K Shanmuga berkata mereka bersedia untuk meneruskan kes itu, sama ada atau tanpa kehadiran Ridhuan.
Rayuan terhadap penukaran agama secara unilateral ke atas kedua-dua kanak-kanak itu adalah soalan bagi perbicaraan selama dua hari bermula hari ini.
Zulkefli, yang bersidang bersama-sama dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali, kemudian menangguhkan pendengaran kes rayuan itu sehingga esok.
Dalam prosiding itu, Kulasegaran, membuat bantahan awal terhadap kehadiran Hatem dengan menyatakan Riduan tidak mempunyai hak kerana masih belum bebas daripada dakwaan menghina mahkamah.
Riduan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi pada 30 Mei, 2014 untuk menyerahkan semula anak perempuannya kepada Indira Gandhi, seorang guru tadika.
Hatem, bagaimanapun, memberitahu mahkamah bahwa kali terakhir beliau menghubungi anak guamnya adalah selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Dis lepas yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan sijil penukaran agama ketiga-tiga anak Indira Gandhi.
Keputusan majoriti Mahkamah Rayuan itu memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan mengenai kesahihan penukaran agama kanak-kanak berkenaan yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah untuk memutuskannya.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka pada April 2009 tanpa keizinan Indira Gandhi selepas beliau memeluk Islam.
Kanak-kanak tersebut ketika itu berusia 12 dan 11 tahun dan 11 bulan.
Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut, dua perempuan dan seorang lelaki, sekarang berusia 19, 18 dan lapan tahun.

