Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dilapor mengenakan kod pakaian yang ketat pada majlis konvokesyen universiti itu yang bermula pada 14 Nov lalu dan berakhir esok.

Antaranya, graduan wanita dilarang berpakaian nipis, ketat dan menjolok mata.

Mereka diminta mengenakan pakaian labuh hingga buku lali dan menutup lengan hingga ke paras leher. Selain baju kurung, skirt labuh dan blaus berlengan panjang juga dibenarkan.

“Skirt pendek, selipar dan sandal ranggi tidak dibenarkan.

“Pakaian yang nipis, ketat dan menjolok mata (juga) tidak dibenarkan,” kata kenyataan Unimas dalam laman webnya.

Mereka yang gagal mematuhi kod pakaian ini perlu menukar kepada pakaian yang sesuai dengan pihak universiti mengenakan sewaan RM50 seorang.

“Graduan yang tidak mematuhi etika berpakaian semasa di dalam Arena Gemilang akan dikehendaki menukar pakaian dan dikenakan sewaan RM50.00 sehelai/sepasang.

“Bayaran sewaan ini perlu dijelaskan di Kaunter Unit Kewangan Pelajar sebelum graduan dibenarkan untuk mengambil transkrip dan sijil,” kata posting Unimas itu.

Graduan lelaki puala dilarang daripada memakai seluar jeans. Mereka perlu memastikan rambut adalah pendek dan kemas, dan memakai sut atau pakaian kebangsaan sahaja.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak universiti untuk ulasan lanjut mengenai perkara ini.

[Baca berita penuh]