Pembentangan belanjawan Johor 2017 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Khamis lalu membuktikan komitmen serta kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan negeri berkembang pesat tanpa meminggirkan keperluan rakyat.

Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), Abd Razak Mohd Yusoff berkata, bajet tersebut bersifat inklusif dan komprehensif kerana tetap mengutamakan kebajikan insani rakyat, kelestarian alam dan mengatasi kesenjangan ekonomi.

“KPRJ akan terlibat dalam beberapa inisiatif yang bakal memberikan dimensi baru dalam ekosistem pembangunan negeri terutamanya dalam industri pembinaan.

“Ini termasuk inisiatif Pusat Pembangunan Kapasiti Kontraktor yang akan diperuntukkan sebanyak RM2.75 juta, bertujuan memastikan kontraktor-kontraktor Johor disiapsiagakan untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Abd Razak, pelaburan yang dibuat KPRJ, yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Johor itu mampu memberi impak positif kepada perkembangan industri pembinaan di Johor.

Ia juga merupakan salah satu usaha syarikat itu dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya, tegasnya.