Keluar BN, saran DAP kepada 4 parti komponen
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, MCA, MIC, Gerakan dan SUPP disarankan keluar dari BN ekoran sokongan parti itu ke atas usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang akan dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang esok.
Pindaan tersebut melibatkan pertambahan hukuman penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan sebatan sebanyak 100 kali bagi kesalahan syariah.
""DAP menentang undang-undang seperti hudud ini kerana ia bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Walaupun kami menghormati hak-hak orang Islam untuk menentukan hal-ehwal agama mereka, ia mesti dilakukan dengan betul dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.
"Cadangan tambahan hukuman akan semakin mendekatkan Akta 355 dengan undang-undang seperti hudud dan atas sebab inilah, ia perlu dilakukan melalui pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dan bukan menerusi undang-undang biasa," jelasnya dalam kenyataan.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dan taklimat dengan anggota parlimen beragama Islam bagi menjelaskan usul Abdul Hadi berkenaan.
Sebentar tadi pula, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, usul berkenaan menjalani sedikit pindaan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat melibatkan had hukuman yang boleh dikenakan hakim mahkamah syariah.
Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus berkata, pada usul yang akan dibawa presiden PAS itu, mereka meletakkan had untuk hukuman penjara, denda dan sebatan.
"Perkara yang dipinda ialah hukuman penjara antara tiga hingga 30 tahun, denda antara RM5,000 hingga RM100,000 dan sebatan setakat maksimum 100 kali," katanya.
Bagaimanapun kata beliau kaedah sebatan itu sama sekali berbeza dengan pelaksanaan hukuman sama untuk mahkamah sivil.
Kata Khairuddin, sebatan mengikut kaedah syarak adalah pelaksanaan "seperti merotan anak saja".
Usul itu dijangka dibawa ke Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada hari terakhir sidang kali ini, iaitu esok. Bagaimanapun ia bergantung kepada kebenaran diberi oleh speaker.
Usul itu digelar sesetengah pihak sebagai "undang-undang hudud" kerana didakwa bakal membuka jalan kepada pelaksanaan hukum Islam di peringkat negeri, terutama di Kelantan yang ditadbir PAS.
Negeri itu tahun lalu meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang antara lain memberi kebenaran untuk hukuman rotan antara 40 hingga 100 kali sebatan.
Bagaimanapun ia tidak boleh dilaksanakan setakat ini kerana kewujudan had hukuman mengikut Akta 355 masih wujud.
Mengulas lanjut, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, sementara DAP menghormati pandangan dan kehendak masyarakat Islam dalam menentukan hal-ehwal agama sendiri, semua pihak juga tidak boleh lupa kebimbangan rakyat bukan Islam yang mahu melihat Perlembagaan Persekutuan dipertahankan.
Perlembagaan Persekutuan adalah berbentuk sekular dengan Islam sebagai agama Persekutuan, jelasnya, dengan tambahan hukuman supaya lebih dekat dengan peruntukan hudud akan melanggar Perlembagaan Persekutuan dari segi semangat dan kriterianya, kata Lim.
"MCA, MIC, Gerakan dan SUPP layak untuk menerima kutukan kerana mengkhianati prinsip dan janji untuk menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
"Demi kepentingan politik, mereka terus menipu rakyat dengan menyokong Umno yang sanggup bekerjasama dengan PAS untuk memintas Persekutuan Perlembagaan bagi membolehkan undang-undang ini berkuat kuasa.
"DAP mengingatkan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP bahawa untuk AKTA 355 diluluskan, ia hanya memerlukan majoriti mudah dan bukan 112 daripada 222 ahli Parlimen manakala bagi pindaan Perlembagaan diluluskan pula, 148 ahli Parlimen mesti mengundi menyokongnya.
Justeru, keengganan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP untuk meninggalkan BN kini dilihat sebagai satu bentuk 'kelulusan tersirat' dalam menyokong tindakan PAS itu untuk menambah hukuman undang-undang syariah agar lebih dekat dengan undang-undang seperti hudud, tambah Lim.

