K'jaan disaran buka kem khas pelarian Rohingya di sempadan
Kerajaan disaran mendirikan kem-kem khas untuk pelarian Rohingya di negeri-negeri di kawasan sempadan untuk mengelak mereka memasuki kawasan bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang membuat saranan itu berkata kebanjiran rakyat asing khususnya pelarian di bandar hanya menimbulkan lebih banyak masalah sosial.
"Kita tidak mengundang mereka (pelarian) tetapi menerima atas dasar perikemanusiaan dan memberi perlindungan sewajarnya serta makanan dan pakaian walaupun Malaysia tidak menandatangani perjanjian hak orang pelarian," katanya.
Shahidan ditemui pada program 'MPK Di Hati Rakyat' yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di Kangar hari ini.
Katanya pemantauan berterusan di darat dan laut dibuat untuk mengesan pihak-pihak tertentu yang menghalau pelarian Rohingya memasuki Malaysia kerana negara bersikap baik terhadap 'orang hanyut' selain tidak pernah berlaku kejam terhadap mereka.
Beliau yang kemudiannya merasmikan Konvensyen Ekonomi Umno Perlis bertemakan 'Perlis Negeri Usahawan' di Arau berkata konvensyen tersebut turut mengambil ketetapan mengutuk perbuatan kejam yang tidak berperikemanusiaan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya itu.
"Perbuatan terkutuk yang di luar batas kemanusiaan itu tidak harus berlaku dan kita akan terus mendesak kerajaan memanggil Duta Besar Myanmar memberi penjelasan walaupun mereka juga anggota ASEAN.
"Umno Perlis juga mahu hadiah Nobel Keamanan kepada Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi ditarik balik oleh pihak yang menganugerahkannya," kata Shahidan yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Perlis.
Beliau menzahirkan sokongan usaha badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyerah nota bantahan kepada Duta Besar Myanmar selain meminta pihak-pihak yang tidak berpuas hati terus membuat demonstrasi sebagai tanda bantahan.
Gesa PBB campur tangan
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seharusnya campur tangan dengan mengisytiharkan gencatan senjata serta menggerakkan pasukan pengaman ke Myanmar bagi menangani krisis kemanusiaan melibatkan etnik Rohingya di negara itu.
Katanya, sudah tiba masanya pertubuhan itu berbuat demikian memandangkan pelbagai kesan negatif yang terpaksa ditanggung etnik tersebut termasuk menjadi pelarian ke negara lain.
"Saya fikir PBB patut mengambil tindakan segera untuk lakukan gencatan senjata serta-merta dan hantar satu pasukan pengaman untuk menghalang malapetaka.
"Penyeksaan itu dibuat dengan sengaja supaya rakyat dan orang Islam di Rakhine lari meninggalkan negara (Myanmar). Ini satu proses menghalau dan menakut-nakutkan (etnik Rohingya) sekali gus mengakibatkan masalah rentas sempadan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Sekolah Kebangsaan (SK) Perol hari ini.
Dalam pada itu, Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh turut melahirkan kekesalannya terhadap majoriti masyarakat antarabangsa yang hanya mengambil sikap berdiam diri dengan krisis yang menimpa etnik Rohingya di negara tersebut.
"Kadangkala kita hairan, apabila keganasan berlaku kepada orang bukan Islam, satu dunia meloncat, tapi bila kekejaman berlaku ke atas orang Islam, berlaku depan mata dengan sifat kebinatangan, perkara sebaliknya berlaku.
"Cara penyeksaan yang dilakukan itu bukan sahaja kejam, tidak berperikemanusiaan, malah penuh dengan unsur-unsur kebiadaban," katanya.
- Bernama

