Pemimpin komunis dan tokoh revolusi Cuba, Fidel Castro meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Presiden Cuba, Raul Castro mengumumkan kematian abangnya di stesen televisyen negara itu, pada Jumaat waktu tempatan.

"Pada 10.29 malam, ketua komander revolusi Cuba, Fidel Castro Ruz, meninggal dunia," katanya tanpa memberi sebab kematian.

Castro yang menyerahkan kuasa kepada adiknya pada tahun 2008 berada dalam kesihatan kurang baik sejak 2006.

Penduduk Havana menerima berita kematian Castro dengan perasaan sedih, namun individu yang pernah menjadi buangan di Hawaii meraikan kematiannya dengan sorakan.

Lahir pada 13 Ogos 1926, Fidel Castro adalah seorang ahli politik Cuba dan tokoh revolusi yang memerintah republik itu sebagai Perdana Menteri dari 1959 hingga 1976.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha pertama Parti Komunis Cuba dari tahun 1961 sehingga 2011.

Castro kemudian menjadi Presiden Cuba dari tahun 1976 hingga 2008.

Di bawah pentadbiran Castro, Cuba menjadi sebuah negara sosialis satu parti, di mana industri dan perniagaan dinegarakan dan sistem sosialis dilaksanakan.

Dilahirkan di Biran dari keluarga petani kaya, beliau merupakan seorang anti-imperialis berhaluan kiri semasa belajar undang-undang di Universiti Havana.

Selepas mengambil bahagian dalam pemberontakan terhadap kerajaan sayap kanan di Republik Dominican dan Colombia, beliau merancang penggulingan Presiden Cuba Fulgencio Batista, tetapi gagal.

Selepas dipenjara setahun, beliau mengembara ke Mexico dan kemudian membentuk Revolusi Pergerakan 26 Julai, dengan Raúl Castro dan pemimpin gerila Ernesto Che Guevara.

Apabila kembali semula ke Cuba, Castro mengambil peranan utama dalam Revolusi Cuba dengan mengetuai pergerakan dalam perang gerila menentang tentera Batista.

Selepas penggulingan Batista pada tahun 1959, Castro mengambil alih kuasa tentera dan politik sebagai Perdana Menteri Cuba.

Amerika Syarikat bimbang dengan hubungan persahabatan Castro dengan Kesatuan Soviet, namun tidak berjaya cuba untuk menyingkirkannya.