Terjemahan Keadaan di kem-kem tahanan di Malaysia tidak mencapai standard antarabangsa, kata laporan tahunan badan pemerhati hak asasi manusia, Amnesty International's (AI).

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kepada aduan-aduan daripada pekerja asing dan pencari suaka yang didakwa mendapat layanan buruk ketika ditahan dikem-kem di sini.

"Keadaan kem-kem tahanan, termasuk peraturan penjagaan kesihatan, penyediaan makanan dan bekalan air bersih, tidak memenuhi standard antarabangsa," kata laporan tersebut yang dilancarkan hari ini.

Laporan setebal 308 halaman mengenai 'Keadaan Hak Asasi Manusia di Dunia' di 149 negara, mengutarakan kegagalan pihak kerajaan dan pertubuhan antarabangsa untuk menangani pelanggaran hak asasi manusia.

Tidak cukup perlindungan

Mengenai Malaysia, laporan itu melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan prosidur penilaian individu yang adil bagi tahanan pendatang, kelemahan serius dalam perbicaraan adil bagi mereka yang didakwa mengikut Akta Imigresen, dan perlindungan tidak mencukupi bagi tahanan wanita dan kanak-kanak ketika operasi menghantar mereka pulang.

Katanya, kegagalan berterusan pihak berkuasa untuk membezakan antara pencari suaka (kebanyakannya dari Myanmar dan Nanggroe Aceh di Indonesia) dengan pekerja asing tanpa izin, maka pencari suaka dan pelarian terus menerus berdepan dengan risiko ditahan dan dipaksa pulang.

AI menyebut contoh tangkapan 30 rakyat Burma berhampiran Pejabat Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian dalam bulan April 2004 ketika mereka datang untuk mendaftar diri sebagai pelarian.

Keadaan yang amat buruk di kem-kem tahanan itu pernah dibangkitkan oleh Irene Fernandez, pengarah Tenaganita yang berjuang melindungi kebajikan pendatang asing.

"Hakikatnya ialah tahanan di sini hanya diberi segenggam nasi bersama sedikit ikan masin, yang biasanya sudah busuk dan berbau. Air pula dihadkan dan bekalan air tidak disediakan setiap hari," katanya.

Dakwaannya mengenai layanan buruk terhadap tahanan rakyat asing, mengakibatkan beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan berita palsu. Beliau kini dalam proses rayuan dan dibebaskan dengan ikatjamin.

Pelanggaran hak asasi manusia

Laporan itu juga menyentuh mengenai perlunya pasukan polis menangani isu pelanggaran hak asasi manusia di Malaysia.

"Di negara seperti Bangladesh, Malaysia, Pakistan dan Filipina, perbuatan rasuah polis telah menafikan orang ramai untuk mendapat perlindungan hak asasi manusia," kata laporan itu.

Laporan itu turut menyentuh kes tahanan polis yang hilang G Francis Udayappan yang didakwa telah dibelasah hingga mati. Bagaimanapun, polis berkata, dia melarikan diri dari tahanan dengan melompat ke dalam sungai.

"Mayat yang dipercayai Francis ditemui dalam sebuah sungai pada bulan April (2004). Dia ditahan kerana disyaki terbabitkan dalam kes curi telefon bimbit di Kuala Lumpur.

"Polis berkata dia lemas selepas melarikan diri, tetapi saudara maranya berkata dia dibelasah dan mati dalam lokap polis. Selepas bantahan awam, siasatan koroner diadakan pada bulan Ogos dan berterusan sehingga hujun tahun 2004," kata laporan itu.

Ibu Francis mengenalpasti mayat yang sudah reput itu sebagai anaknya, berdasarkan kepada toto dan kecacatan giginya. Bagaimanapun, ujian DNA ke atas mayat itu, mendapati ia tidak sama dengan contoh darahnya. Siasatan itu masih berjalan.