Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan laporan video mengenai penjualan bayi yang dikeluarkan al-Jazeera pada 24 November 2016 lalu menjadi viral melalui media sosial.

Wanita IKRAM Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti tidak berperikemanusiaan ini dan menjadikan bayi seperti komoditi yang boleh diperdagangkan.

Apa yang diperlihatkan adalah bayi seolah-olah dikatalog mengikut jantina, warna kulit, keturunan dan diletak tanda harga.

Sudah hilangkah kewarasan dan sifat kemanusiaan mereka yang terlibat dalam perdagangan ini?

Lebih berat lagi apabila pendedahan itu menunjukkan mereka yang terlibat adalah golongan profesional seperti doktor dan kakitangan awam dalam sistem pentadbiran negara yang diharapkan untuk membela serta melindungi rakyat.

Sebagai rakyat Malaysia kita berasa sangat malu dan gelap masa depan negara atas kejadian tidak bermoral berlaku di negara ini yang terkenal sebagai negara Islam maju lagi progresif.

Lebih mengecewakan apabila didapati kenyataan balas pihak kementerian berkenaan sangat lemah dan tidak bermaya untuk memberikan respon yang lebih serius terhadap kepincangan yang berlaku.

Tiada gesaan untuk bertindak segera walaupun bukti-bukti telah dikemukakan dengan jelas merangkumi pengiklanan terbuka penjualan bayi di media sosial, pendedahan pihak-pihak terbabit termasuklah individu berpengaruh seperti doktor, polis juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ini memberi gambaran bahawa pihak kerajaan tersangat lemah melaksanakan tanggungjawab membela nasib rakyat dan membenteras jenayah.

Tidak dapat dibayangkan nasib ratusan bayi yang dijual beli secara haram ini; adakah mereka mendapat ibu bapa penyayang yang memberi didikan sempurna ataupun terjatuh ke lembah eksploitasi kanak-kanak seperti sindiket pengemis dan pelacuran.

Lebih dahsyat lagi semua ini menjadi sumber pendapatan yang lumayan kepada segelintir kelompok masyarakat yang rakus.

Wanita IKRAM Malaysia menggesa pihak berkuasa memandang serius isu ini dan mengambil tindakan-tindakan berikut:

  1. Segera menyiasat kes penjualan bayi ini sehingga semua individu dan agensi yang terlibat ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Rakyat ingin mengetahui apa sebenarnya berlaku. Pihak al-Jazeera boleh melakukan pendedahan terperinci, masakan pihak berkuasa Malaysia dengan segala kemudahan, latihan dan kelengkapan yang ada tidak dapat mengesan isu ini.
  2. Memberi fokus kepada usaha membela kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat termasuklah pekerja asing yang mencari rezeki di negara ini. Usaha membanteras gejala sosial serta mengurangkan tekanan hidup rakyat perlu diberi keutamaan kerana ia adalah antara punca kepada kegiatan tidak bermoral seperti penjualan bayi ini.
  3. Membenteras segala budaya rasuah dalam pentadbiran negara dan mengembalikan urus tadbir negara yang baik di semua peringkat. Wanita IKRAM juga menyeru semua pihak bersatu hati menggembleng tenaga dan usaha membangunkan jati diri rakyat serta menyelamatkan negara ini daripada segala jenayah atau bala bencana perbuatan manusia rakus dan tidak bermoral.

Mari kita bina Malaysia menjadi sebuah negara rahmah dengan semua rakyatnya dilindungi dan terbela.


DATIN PADUKA CHE ASMAH IBRAHIM ialah ketua wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS